Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan kepada Rektor UIAM merangkap Ahli Falsafah Muslim, Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M di Masjid Putra, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 17 JUN 2026.

PUTRAJAYA – Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Osman, 80, yang berasal dari Chenor, Pahang dipilih berdasarkan sumbangan besarnya sebagai tokoh pemikir Islam dan akademik, selain kepakaran dalam bidang penulisan Islam, sains serta tamadun.

Beliau yang ditemui media selepas majlis itu menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu amanah untuk terus menyumbang ilmu demi kemajuan peradaban Islam.

“Saya berada dalam dunia akademik selama lima dekad, termasuk sebagai penyelidik, profesor madya, profesor penuh dan profesor emeritus di institusi pengajian tinggi dalam serta luar negara.

“Perjalanan tersebut saya anggap sebagai satu bentuk jihad ilmu yang bertujuan mempertahankan kebenaran, mengembangkan ilmu yang sahih serta menangkis penyebaran ilmu yang tidak berasaskan kebenaran.

“Saya menganggap kehidupan saya sebagai jihad dalam bidang ilmu pengetahuan, iaitu jihad untuk mempertahankan ilmu yang benar dan melawan ilmu yang palsu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, hari ini.

Menurut beliau, usaha membimbing generasi baharu akademik perlu diteruskan bagi memastikan tradisi keilmuan yang berteraskan kebenaran, integriti dan kemaslahatan masyarakat dapat diperkasakan.

Sementara itu, pengasas Kesatuan Ulama Sedunia, Profesor Sheikh Dr. Ahmad al-Raysuni, 73, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT serta penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas pengiktirafan yang diterimanya.

“Sejak kira-kira dua dekad kebelakangan ini, tumpuan saya lebih terarah kepada bidang akademik kerana percaya ilmu pengetahuan merupakan asas utama kepada pembangunan ummah.

“Ilmu mesti didahulukan sebelum perkataan dan perbuatan. Tradisi ilmu dalam Islam menuntut kita sentiasa mengkaji, meneliti dan menganalisis khazanah ilmu yang diwariskan agar dapat diaplikasikan dalam konteks semasa,” katanya.

Ahmad yang berasal dari Maghribi dipilih atas jasa dan sumbangannya sebagai pakar rujuk antarabangsa dalam bidang Maqasid Syariah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast