Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika ditemuramah media Johor di kediaman rasminya di Saujana, Johor Bahru, semalam

JOHOR BAHRU – Datuk Onn Hafiz Ghazi menamatkan spekulasi apabila mengakui akan kekal bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dan bukan di peringkat Parlimen.

Menteri Besar Johor itu berkata, beliau tidak mempunyai hasrat untuk bertanding di peringkat Parlimen kerana merasakan khidmatnya masih diperlukan di negeri ini.

Beliau mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada pembangunan Johor serta menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi rakyat di negeri ini.

“Saya mahu terus fokus kepada Johor. Banyak perkara yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk aspek pelaburan, ekonomi, infrastruktur, perumahan rakyat serta kebajikan masyarakat.

“Bagi saya, yang lebih penting bukan sekadar angka pelaburan atau peningkatan hasil negeri, tetapi bagaimana manfaat itu dapat dirasai rakyat melalui pelbagai program bantuan dan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam temuramah bersama-sama media Johor di kediaman rasminya di Saujana, di sini semalam.

Katanya, beliau berhasrat untuk terus berkhidmat di Johor sekiranya diberikan mandat sekali lagi memimpin kerajaan negeri jika menang PRN Johor.

Menurut beliau, tumpuan utamanya adalah memastikan agenda pembangunan dan kemajuan negeri diteruskan bagi mencapai sasaran Johor Maju 2030 yang menjadi visi jangka panjang kerajaan negeri.

Onn Hafiz berkata, masih banyak perancangan dan inisiatif yang perlu dilaksanakan meskipun pelbagai kejayaan telah dicapai sepanjang lebih empat tahun pentadbirannya.

“Setiap hari bagi saya adalah hari untuk bekerja dan berkhidmat kepada rakyat. Kita sudah mempunyai momentum pembangunan dan sekiranya rakyat memberi mandat sekali lagi, kita akan meneruskan usaha tersebut.

“Visi Johor Maju 2030 masih berada di pertengahan perjalanan. Banyak lagi yang perlu dilakukan demi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai seluruh Bangsa Johor,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast