Penguat kuasa menahan 73 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di di 17 kediaman serta rumah kedai sekitar Johor Bahru, kelmarin

JOHOR BAHRU – Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) sembunyi bawah katil dan di ruang sempit dalam kedai semasa serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak berhasil.

Ops Sapu tersebut dilaksanakan di 17 kediaman serta rumah kedai sekitar daerah ini yang dijadikan sebagai tempat tinggal dilakukan pukul 11 malam kelmarin.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, ketika serbuan dijalankan, suasana bertukar kecoh apabila terdapat PATI yang cuba melarikan diri bagi mengelak pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa.

Pemeriksaan turut menemukan beberapa individu yang bertindak menyembunyikan diri di bawah katil dan di ruang sempit premis namun gagal

“Pemeriksaan turut menemukan beberapa individu yang bertindak menyembunyikan diri di bawah katil dan di ruang sempit premis dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.

“Walau bagaimanapun, tindakan tersebut gagal apabila anggota penguat kuasa berjaya mengesan dan menahan kesemua individu terbabit hasil pemeriksaan menyeluruh yang dijalankan di setiap premis sasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu seramai 73 warganegara asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki dewasa Indonesia, lima lelaki dewasa Myanmar, empat lelaki dewasa Bangladesh, seorang lelaki dewasa warga India, seorang kanak-kanak lelaki Myanmar, 22 wanita dewasa Indonesia, 22 wanita dewasa Myanmar, seorang kanak-kanak perempuan Indonesia dan seorang kanak-kanak perempuan Myanmar.

Ops Sapu dilaksana di 17 kediaman serta rumah kedai sekitar Johor Bahru, kelmarin yang dijadikan sebagai tempat tinggal

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati PATI terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan berusia dalam lingkungan 10 bulan hingga 40 tahun.

Katanya, semua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan lanjut dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

Tambahnya, operasi yang dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan itu melibatkan pemeriksaan ke atas beberapa premis yang dikenal pasti menjadi lokasi penempatan PATI.

“JIM Johor akan terus komited mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras sebarang bentuk pelanggaran undang-undang imigresen serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Orang ramai turut digalakan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan ini, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast