Antara PATI yang ditahan dalam operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan di ESS Zone. - Foto: ESSCOM

KUALA LUMPUR – Seramai 64 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Lahad Datu yang dikoordinasikan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) selama dua hari bermula 16 Jun lalu.

Operasi yang melibatkan 262 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguatkuasaan itu turut mengesan pelbagai pelanggaran undang-undang melibatkan sektor pekerjaan, imigresen, pelesenan perniagaan, trafik, utiliti dan perkastaman dengan nilai keseluruhan penguatkuasaan, kompaun serta rampasan dianggarkan RM623,450.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B. Sanjos berkata, operasi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) selain membanteras kehadiran PATI dan aktiviti ekonomi tidak sah.

Menurut beliau, operasi itu merekodkan sebanyak 71 notis dan kompaun serta dua kes pendakwaan oleh pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan.

“Operasi ini dilaksanakan bagi memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam selain melindungi peluang pekerjaan rakyat tempatan, memastikan persaingan perniagaan yang adil serta mengelakkan ketirisan hasil kerajaan akibat aktiviti yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

“ESSCOM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang sehingga menjejaskan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di ESS Zone,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi tersebut, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memeriksa seramai 247 individu di kawasan bandar, pinggir bandar dan kampung sekitar Lahad Datu sebelum menahan 64 PATI kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Kesemua mereka diserahkan kepada JIM Lahad Datu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 11 kompaun dan memulakan dua tindakan pendakwaan di bawah Akta Kerja 1955 melibatkan pelbagai pelanggaran syarat pekerjaan dan kebajikan pekerja dengan nilai penguatkuasaan berjumlah RM133,000.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula mengeluarkan 10 saman, sembilan notis penguatkuasaan dan tiga kompaun atas pelbagai kesalahan trafik, manakala Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Lahad Datu mengeluarkan 32 saman.

Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) turut mengeluarkan satu kompaun bernilai RM500 berkaitan kesalahan pembuangan sampah serta menyita pelbagai barangan jualan tanpa lesen yang dianggarkan bernilai RM1,150.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas minuman keras tanpa lesen dan rokok seludup bernilai RM30,000 di bawah Akta Kastam 1967.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula mengeluarkan satu kompaun bernilai RM300 atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Operasi itu turut mendedahkan kegiatan sambungan utiliti haram apabila Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) merampas 150 kilogram kabel sambungan elektrik haram serta 23 unit pam air yang menggunakan bekalan elektrik secara tidak sah dengan nilai rampasan RM14,800.

Menurut ESSCOM, SESB menganggarkan kerugian hasil akibat kegiatan tersebut mencecah RM429,600 setahun selain berpotensi mengundang risiko kebakaran dan mengancam keselamatan penduduk setempat.

Victor berkata, kejayaan operasi bersepadu itu membuktikan pendekatan penguatkuasaan secara bersepadu dan berasaskan risikan mampu mengesan pelbagai pelanggaran undang-undang yang memberi kesan kepada keselamatan, ekonomi serta kesejahteraan masyarakat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast