Ketua Pemuda Pas DUN Lenggeng, Muzzafar Mohamed

KUALA LUMPUR – Pas wajar bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan susulan peningkatan keahlian baharu parti Islam itu yang didakwa semakin meyakinkan sokongan rakyat.

Ketua Pemuda Pas DUN Lenggeng, Muzzafar Mohamed berkata, Pas kini berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk menawarkan alternatif kepada penduduk Negeri Sembilan, sekali gus memberi peluang kepada parti itu untuk bertanding atas kekuatan sendiri.

“Kemenangan atau kekalahan adalah lumrah dalam mana-mana pertandingan politik, Pas perlu meletakkan sasaran lebih besar dengan berusaha meraih majoriti kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil dan berkesan.

“Jika mahu membentuk kerajaan negeri kukuh, Pas perlu berada dalam kedudukan majoriti agar mampu mentadbir dengan lebih berkesan dan tidak bergantung kepada kestabilan yang rapuh,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menegaskan isu kestabilan politik perlu menjadi pertimbangan utama pengundi Negeri Sembilan kerana keadaan politik tidak menentu boleh memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri.

“Pengalaman politik sebelum ini memperlihatkan kerajaan negeri sedia ada gagal memanfaatkan kerjasama politik secara optimum meskipun mendapat sokongan daripada Barisan Nasional (BN) yang memiliki sejumlah kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Justeru, beliau menyeru penduduk Negeri Sembilan agar memberi peluang kepada Pas untuk menerajui pentadbiran negeri pada PRN kali ini.

“PRN Negeri Sembilan kali ini adalah peluang untuk rakyat memberikan mandat kepada Pas bagi mentadbir kerajaan negeri dengan lebih efisien dan mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil,” katanya.

Muzzafar turut menekankan rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang mampu membawa perubahan kepada dasar ekonomi lebih progresif dan moden, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

“Saya percaya pentadbiran Pas mampu memberi tumpuan kepada agenda pembangunan ekonomi, pelaburan serta penciptaan pekerjaan berkualiti bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Negeri Sembilan memerlukan dasar ekonomi yang lebih dinamik dan berdaya saing. Kita mahu melihat lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan supaya anak-anak Negeri Sembilan tidak perlu berhijrah ke luar negeri untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast