JOHOR BAHRU – Nor Zulaila Abd Ghani, 38, dan Lee Wern Yiing, 30, hari ini diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya dan Tiram.
Pengumuman calon bagi dua kerusi DUN tersebut dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam Majlis Pengumuan Calon N.42 Johor Jaya dan N.40 Tiram di Pusat Komuniti Harapan, Plentong di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Timbalannya, Wong Shu Qi.
Nor Zulaila yang mesra dipanggil Lily merupakan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang sejak 2018 mempunyai lebih 12 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, pembangunan komuniti serta pentadbiran kerajaan.
Anak jati Lenga, Muar itu turut pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas Ahli Parlimen Bangi, Pengurus Penyelaras DUN Semenyih serta Pembantu Ahli Parlimen Serdang.
Kini beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Timbalan Menteri Kewangan.
Nor Zulaila mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan terhadapnya.

“Saya mahu bawa suara rakyat serta polisi dan dasar baik yang berbalik semula kepada mereka (rakyat) selain melakukan perubahan yang lebih baik.
“Saya seru jentera PH, mari kita berkempan dengan berhemah, tawarkan harapan dan politik yang matang serta bukan pecah belah kaum,” katanya ketika berucap.

Sementara itu, Wern Yiing yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Johor menghargai peluang dan kepercayaan yang diberikan terhadapnya untuk bertanding sebagai muka baharu di Johor Jaya.
Menurutnya, pengalaman selama lapan tahun berkhidmat dengan Penyandang kerusi DUN Johor Jaya, Liow Cai Tung sebelum ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu penduduk sekiranya menang nanti.
“Saya akan teruskan legasi Liow Cai Tung untuk bawa suara anda semua dalam DUN dan teruskan khidmat di Johor Jaya. Saya minta sokongan anda semua,” katanya. – MalaysiaGazette
















