KUANTAN – Ribuan pengguna di sekitar Kuantan dijangka berdepan gangguan bekalan air berjadual selama 12 jam susulan kerja-kerja segera baik pulih dan penyelenggaraan kritikal di Rumah Pam Kobat yang akan dilaksanakan oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) minggu depan.
PAIP dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja penyelenggaraan itu akan bermula pukul 10 malam, 23 Jun 2026 (Selasa) dan dijadualkan selesai pada esoknya jam 10 pagi iaitu pada 24 Jun 2026 (Rabu).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari, kerja berkenaan perlu dilaksanakan sebagai langkah pencegahan awal bagi memastikan sistem operasi loji terus berada pada tahap optimum serta mengelakkan risiko kerosakan lebih besar pada masa hadapan.
“Kerja-kerja ini telah dirancang lebih awal dan merupakan penyelenggaraan penting terhadap instrumen utama di Rumah Pam Kobat bagi menjamin kebolehpercayaan sistem bekalan air kepada pengguna,” katanya.
Antara kawasan yang dijangka terjejas termasuk seluruh kawasan Beserah sehingga sempadan Chendor, Balok, Sungai Ular, Cherating, Teluk Chempedak, Tanjung Api, Semambu, Alor Akar, Galing, Air Putih, Bukit Sekilau, Bukit Setongkol, Indera Mahkota, KotaSAS, Tanjung Lumpur, Peramu, Kempadang serta puluhan kawasan perumahan, industri dan institusi kerajaan di sekitar Kuantan.
Turut terlibat ialah kawasan perindustrian strategik seperti Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), institusi pendidikan, pusat pentadbiran serta beberapa kemudahan awam utama.
PAIP menjelaskan bekalan air akan mula disalurkan semula secara berperingkat selepas kerja-kerja selesai sepenuhnya dan sistem agihan kembali stabil.
“Bagaimanapun tempoh pemulihan bekalan berbeza mengikut lokasi pengguna, jarak dari sistem agihan serta tekanan air di kawasan masing-masing.
“Bagi mengurangkan kesan gangguan, PAIP akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan kemudahan kesihatan yang memerlukan bekalan air berterusan,” katanya.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya membuat persediaan awal dengan menyimpan bekalan air secukupnya serta menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.
PAIP turut memberi jaminan bahawa segala usaha sedang dilakukan bagi memastikan kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan berjalan lancar mengikut jadual serta mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) PAIP di talian 09-573 9999 yang beroperasi setiap hari dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.
Gangguan bekalan air ini dijangka menjadi antara yang terbesar melibatkan kawasan Kuantan tahun ini, justeru pengguna disaran mengambil langkah awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan. – MalaysiaGazette
















