PUTRAJAYA – Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan diyakini mampu mengurangkan ketirisan bahan api melalui mekanisme kawalan yang lebih tersusun, termasuk penggunaan sistem MyKad serta Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Penstabilan Harga Petroleum Sabah (SKPS).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, walaupun masih terdapat ruang ketirisan dalam beberapa modus operandi tertentu, pelaksanaan subsidi secara bersasar dapat mengecilkan ruang penyalahgunaan yang sebelum ini lebih meluas ketika subsidi diberikan secara menyeluruh.
“Dengan adanya mekanisme penyasaran subsidi dan sistem yang ada, kita dapat mengurus risiko serta menutup ruang-ruang ketirisan yang berlaku sebelum ini,” katanya pada sidang media bersama Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berhubung Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di sini, hari ini.
Armizan berkata, komitmen Kerajaan Madani sejak awal adalah memastikan subsidi terus disalurkan kepada rakyat yang memerlukan menerusi pendekatan reformasi penyasaran subsidi yang dilaksanakan secara berperingkat.
Katanya, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bermula di Semenanjung Malaysia pada 2024 sebelum diperluaskan menerusi SKPS dan bantuan tunai diesel, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan mula melaksanakan sistem tersebut tahun ini.
Beliau turut berkongsi statistik Operasi Tiris 4.0 yang dilaksanakan secara bersepadu oleh pelbagai agensi penguat kuasa dari 16 Mac hingga 21 Jun lalu.
“Sebanyak 71,601 pemeriksaan dan operasi penguatkuasaan telah dijalankan di seluruh negara dengan 869 kes berjaya dikesan.
“Daripada jumlah itu, 554 kes melibatkan bahan api petrol dan diesel, manakala 291 kes direkodkan di Sabah, Sarawak dan Labuan,” ujarnya.
Menurut beliau, statistik tersebut menunjukkan ketirisan berkaitan bahan api masih tinggi di Sabah, Sarawak dan Labuan berbanding Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, beliau yakin pelaksanaan penyasaran subsidi diesel mampu membantu kerajaan menangani serta mengekang ketirisan subsidi diesel, petrol dan barangan kawalan lain pada masa hadapan.
Terdahulu, Armizan menjawab soalan media mengenai keberkesanan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak dalam mengurangkan isu ketirisan bahan api susulan kebimbangan mengenai amalan “channel switch” yang dibangkitkan sebelum ini. – MalaysiaGazette
















