Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika bercakap pada sidang media selepas memberi taklimat mengenai Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 Jun 2026.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menyediakan kuota asas sebanyak 200 liter diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter sebulan kepada pemilik kenderaan diesel yang layak menerusi program Budi Madani Diesel (Budi Diesel) dengan permohonan boleh dibuat melalui sistem yang disediakan di laman web rasmi Budi Madani.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keputusan itu dibuat susulan semakan yang dijalankan di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi memastikan subsidi bahan api disalurkan secara lebih bersasar kepada golongan yang layak.

Menurut beliau, berdasarkan statistik semasa, hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan.

“Berdasarkan statistik yang ada, hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan.

“Kelayakan ini boleh digunakan secara fleksibel mengikut keperluan sebenar penerima untuk membeli diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi, tertakluk kepada baki kuota bulanan mereka,” katanya dalam taklimat mengenai subsidi diesel hari ini.

Beliau berkata, pendekatan itu dapat memastikan subsidi diberikan berdasarkan penggunaan bahan api sebenar tanpa mengira sama ada penerima menggunakan diesel atau RON95, selain memberi fleksibiliti kepada mereka untuk mengurus penggunaan bahan api mengikut keperluan bulanan.

Kementerian Kewangan memaklumkan, pelaksanaan mekanisme harga diesel bersubsidi di seluruh negara akan dilaksanakan menerusi sistem berasaskan MyKad, sama seperti pelaksanaan BUDI95.

Amir Hamzah berkata, pemilik kenderaan diesel yang layak akan menerima kuota bulanan sebanyak 200 liter memandangkan pengguna kenderaan diesel lazimnya mempunyai corak penggunaan yang berbeza berbanding pengguna kenderaan petrol.

“Ada individu yang menggunakan kenderaan berkuasa diesel seperti jip, van dan kenderaan lain yang tidak didaftarkan untuk tujuan perniagaan tetapi mungkin memerlukan penggunaan bahan api yang lebih tinggi berbanding pengguna kenderaan RON95 biasa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut membenarkan pemilik jip dan trak pikap diesel persendirian yang memenuhi syarat untuk memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.

Katanya, pemohon mestilah pemilik kenderaan diesel persendirian yang didaftarkan atas nama sendiri serta mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaan yang sah.

“Kuota ini dijangka mencukupi kerana dianggarkan 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.

“Peruntukan tambahan ini bertujuan membantu memenuhi keperluan bahan api yang lebih tinggi bagi kumpulan tertentu, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta individu yang berulang-alik dari kawasan luar bandar dan pedalaman,” ujarnya.

Beliau berkata, kemudahan Budi Diesel itu juga akan diperluaskan kepada kumpulan lain yang layak seperti pengusaha bot sungai dan pemilik generator di kawasan pedalaman bagi membolehkan mereka membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan MyKad.

Menurutnya lagi, Kerajaan Persekutuan kini bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan akses diesel bersubsidi dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat di kedua-dua negeri tersebut. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast