Orang ramai berjalan berhampiran Kolam Pantulan Memorial Lincoln selepas kerja-kerja pengubahsuaian baru-baru ini siap di Washington, DC, pada 18 Jun 2026. Foto AFP

WASHINGTON – Donald Trump pada Isnin mengancam hukuman penjara sehingga 10 tahun terhadap mana-mana individu yang merosakkan Kolam Pantulan (reflecting pool) di Memorial Lincoln di Washington, salah satu projek pengubahsuaan ikonik yang menjadi tumpuan pentadbirannya.

Trump sebelum ini mengarahkan kontraktor mengeringkan kolam sepanjang 610 meter itu dan mengecatnya dengan warna “biru bendera Amerika”.

Namun, tidak lama selepas kerja siap, lapisan cat didapati mula mengelupas manakala alga menyebabkan air kolam bertukar kehijauan dan keruh.

Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump mendakwa, kolam itu menjadi sasaran vandalisme, walaupun tidak mengemukakan sebarang bukti.

“Daripada banyak patung dan air pancut yang kami bina semula, ubah suai, bersihkan dan baiki, satu-satunya yang dirosakkan ialah Reflecting Pool, dan ia sedang diperbaiki dengan segera,” tulisnya.

Beliau turut mengingatkan, perbuatan memusnahkan atau cubaan memusnahkan kemudahan sedemikian boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan undang-undang itu akan dikuatkuasakan sepenuhnya.

Menurut penguat kuasa undang-undang daripada Perkhidmatan Taman Negara Amerika Syarikat, lima individu telah ditahan kerana melakukan vandalisme manakala lima lagi dikenakan saman persekutuan.

Projek pengubahsuaan kolam itu berdepan pelbagai masalah sejak diarahkan oleh Trump, termasuk pertumbuhan alga, cat mengelupas dan perubahan warna air. Pengkritik menyifatkannya sebagai simbol kepimpinan yang bercelaru dan perbelanjaan yang berlebihan.

Trump, yang pernah bergelar pemaju hartanah, turut menuduh pihak yang disifatkannya sebagai “sakit dan tidak waras” melakukan perbuatan vandalisme terhadap kolam berkenaan.

Pada hari yang sama, beliau turut mengumumkan pentadbirannya sedang menyediakan tindakan undang-undang terhadap ABC News atas dakwaan laporan palsu berkaitan projek tersebut.

Selain kolam tersebut, Trump turut melaksanakan beberapa projek pembangunan di Washington, termasuk rancangan membina sebuah dewan tari-menari besar di White House.

Inisiatif itu menerima kritikan berhubung kos yang dianggarkan melebihi AS$14 juta serta dakwaan kurang ketelusan dalam penganugerahan kontrak ketika rakyat Amerika berdepan tekanan inflasi. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast