Dr Mohd Aleef Yusof

MELAKA – Pembangkang menempelak keputusan kerajaan negeri yang hanya membenarkan aktiviti penangkapan ikan di sekitar Pulau Besar sambil menegaskan sepatutnya semua gugusan pulau di Umbai perlu dibuka semula kepada nelayan Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr. Mohd Aleef Yusof berkata, tindakan meneruskan pewartaan taman laut di kawasan berkenaan adalah tidak wajar kerana ia menjejaskan sumber pendapatan nelayan yang sekian lama bergantung kepada kawasan tersebut untuk mencari rezeki.

“’Ibarat monkey see, monkey do. Itulah yang dilakukan oleh kerajaan sekarang. Monkey see Floating Market di Hatyai, monkey do it in Melaka.

“‘Monkey see taman laut in Terengganu, monkey do it in Melaka. Begitulah umpamanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pendekatan copy paste seperti itu bukan sahaja gagal memberi impak besar kepada sektor pelancongan negeri, malah berisiko membazirkan wang rakyat serta menjejaskan kepentingan golongan nelayan.

Beliau turut mendakwa pewujudan taman laut di perairan Umbai merupakan kesinambungan kepada beberapa projek yang disifatkannya sebagai meniru produk pelancongan luar tanpa kejayaan yang jelas.

“Pewujudan taman laut ini adalah idea copy paste selepas Floating Market (tiru produk di Thailand) dan Jejantas Tun Teja (tiru Saloma Link).

“Semua projek ini gagal memberi impak besar dan gagal menarik kedatangan pelancong ke negeri ini,” tegasnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan membuka semula Pulau Besar kepada aktiviti penangkapan ikan sepatutnya diperluaskan sehingga sekitar Pulau Nangka, Pulau Dodol dan Pulau Undan telah lama menjadi antara lokasi utama nelayan mencari rezeki.

“Sudah berpuluh-puluh tahun nelayan di sekitarnya dan dari kawasan lain datang dan menangkap ikan di gugusan pulau ini khususnya Pulau Nangka, Dodol dan Undan di mana kawasan ini kaya dengan lubuk ikan dan mempunyai banyak ikan,” katanya.

Justeru, Dr Aleef menggesa kerajaan negeri mengkaji semula pewartaan taman laut dan mengembalikan hak nelayan untuk menangkap ikan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata Bersatu di blok pembangkang dalam Perikatan Nasional (PN) akan terus memperjuangkan perkara tersebut dan berhasrat menghentikan pewartaan taman laut sekiranya diberi peluang mentadbir negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast