Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua-Ketua dan Menteri-Menteri Besar di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. 23 JUN 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh dan memulihkan ekonomi negara susulan ketidaktentuan global akibat konflik di Asia Barat menjadi antara fokus Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-149 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen, hari ini.

Anwar berkata mesyuarat itu turut meneliti tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi fenomena El Niño yang dijangka memberikan kesan terhadap bekalan air, sektor pertanian, keselamatan makanan serta meningkatkan risiko cuaca panas melampau dan jerebu.

“Penekanan turut diberikan kepada usaha memastikan setiap dasar dan inisiatif dilaksanakan secara lebih bersepadu, cekap dan berpaksikan kepentingan rakyat, di samping memperkukuh daya saing ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata mesyuarat itu memberikan tumpuan kepada pelbagai inisiatif kerajaan ke arah memperkukuh dan memulihkan ekonomi negara susulan cabaran serta ketidaktentuan yang berpunca daripada konflik di Asia Barat yang memberikan kesan kepada ekonomi global.

Anwar berkata semangat kebersamaan dan kesepakatan yang dizahirkan menerusi mesyuarat itu akan terus memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri demi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh seluruh rakyat.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast