Antara bangunan yang runtuh akibat gempa bumi di Venezuela. - Foto: AFP

CARACAS – Angka kematian akibat dua gempa bumi kuat yang melanda utara Venezuela pada Rabu meningkat kepada 188, dengan 1,520 cedera, kata Presiden Dewan Negara Jorge Rodriguez pada Khamis, lapor Xinhua.

Bercakap menerusi televisyen negara Venezuela, Rodriguez berkata negara itu berlumba dengan masa untuk menyelamatkan mereka yang cedera dan terperangkap, sambil menambah bahawa angka itu akan dikemas kini dalam beberapa jam akan datang.

Kira-kira 200 orang terperangkap di bawah runtuhan dan 157 yang lain masih hilang, katanya.

Venezuela merekodkan 138 gegaran susulan setakat tengah hari Khamis, kata Rodriguez.

Berikutan gegaran susulan yang berterusan itu, kerajaan Venezuela mengisytiharkan beberapa kawasan termasuk negeri La Guaira sebagai zon bencana.

Sekurang-kurangnya 346 bangunan rosak, termasuk lapan hospital, beberapa daripadanya telah dikosongkan, katanya.

Rodriguez berkata pasukan penyelamat antarabangsa dari beberapa negara telah tiba di Venezuela untuk membantu operasi bantuan.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk menderma bekalan kecemasan di pusat pengumpulan di seluruh negara.

Pekerja penyelamat masih mencari mangsa yang terselamat di bangunan runtuh, manakala jentera berat mula tiba di lokasi bencana ketika operasi menyelamat diteruskan.

Ramai rakyat Venezuela mula bermalam di jalanan atau di dalam kereta awal Khamis kerana gegaran susulan yang berlanjutan.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menjanjikan bantuan US$150 juta kepada Venezuela selepas negara itu dilanda dua gempa bumi, menurut Jabatan Negara, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Dua gempa bumi kuat berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud melanda Venezuela pada Rabu yang diikuti 30 gempa susulan.

Sekurang-kurangnya 180 orang terbunuh dan lebih 1,000 yang lain cedera serta banyak rumah musnah akibat kejadian itu.

“Selain mencari dan menyelamat segera, pengangkutan udara dan sokongan penyelarasan, AS menggerakkan bantuan US$150 juta kepada Venezuela melalui rakan kongsi bantuan kami,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

AS juga telah mengerahkan dua pasukan mencari dan menyelamat bandar dari jabatan bomba Fairfax County, Virginia dan Los Angeles County, California, tambah jabatan itu. -AGENSI

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast