Mohd Isa Abdul Samad. Foto: MOHD ADZLAN, 05 FEBRUARI 2026.

PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Felda, Datuk Seri Mohd. Isa Abdul Samad kekal menjalani hukuman penjara enam tahun dan didenda RM15.45 juta atas sembilan kesalahan rasuah RM3.09 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonannya untuk menyemak keputusan panel terdahulu mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menghukumnya atas semua kesalahan tersebut.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi sebulat suara menolak permohonan semakan Mohd. Isa selepas berpuas hati panel sebelum ini telah memberikan hak untuk merayu kepadanya.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk P. Ravinthran berpendapat panel sebelum ini tidak terkhilaf ketika mengembalikan sabitan dan hukuman terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

 

Bibi Sharliza Mohd Khalid

Sejurus mahkamah menangguhkan sidang, isterinya Datin Seri Bibi Sharliza Mohd. Khalid yang hadir mengikuti prosiding itu, dilihat berpelukan dengan ahli keluarga terdekat di galeri awam.

Terdahulu, mahkamah tertinggi negara mendengar penghujahan peguam-peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan M. Athimulan manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Azizah berkata, tidak berlaku salah laksana keadilan jika mahkamah memberi peluang kepada pembelaan untuk berhujah walaupun pembelaan memilih untuk tidak membuat penghujahan.

Ujarnya, panel sebelum itu jelas mempunyai kuasa untuk menilai semula keterangan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Mohd. Isa.

“Hak untuk merayu, hak untuk didengar telah diberikan sepenuhnya oleh panel awal Mahkamah Persekutuan, tetapi pemohon memilih untuk tidak menggunakan peluang itu,” ujar beliau.

Hakim Azizah seterusnya menyatakan, Mohd. Isa selaku pemohon secara khusus memohon untuk mengembalikan semula keputusan Mahkamah Rayuan (yang membebaskannya).

“Oleh itu, isu pembelaan pemohon sama ada terhadap sabitan dan hukuman, jelas di hadapan mahkamah.

“Tiada apa-apa rekod yang menunjukkan bahawa pihak-pihak tersebut mengehadkan penghujahan mereka kepada isu-isu tertentu di hadapan Mahkamah Persekutuan.

“Memandangkan keseluruhan kes sama ada sabitan dan hukuman dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan, terpulang kepada pihak-pihak untuk memutuskan bagaimana untuk membentangkan kes masing-masing mengenai isu ini,” ujar Hakim Azizah.

Beliau selanjutnya menyatakan, dalam semakan, tumpuan mereka adalah untuk mempertahankan keputusan Mahkamah Rayuan dan tidak menangani merit pembelaan di hadapan Mahkamah Persekutuan.

“Setelah memilih demikian, pemohon tidak boleh mengadu bahawa dia dinafikan hak untuk didengar. Daripada nota prosiding, Mahkamah Persekutuan tidak pada bila-bila masa menghalang dan menyekat pemohon daripada membuat sebarang hujah sebelum keputusan itu diumumkan,” ujarnya.

Oleh yang demikian, mahkamah berpendirian, tidak boleh dikatakan bahawa pemohon tidak diberi peluang untuk berhujah mengenai merit pembelaannya.

“Mengenai isu kegagalan untuk membenarkan pemohon meringankan sebelum menjatuhkan hukuman, kami berpendapat bahawa tidak ada kegagalan kerana Mahkamah Persekutuan hanya menjalankan bidang kuasa rayuan sedangkan keputusan bersalah telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi,” kata hakim.

Panel itu turut berpendapat, rayuan untuk meringankan hukuman telah pun ditangani di peringkat Mahkamah Tinggi dan tidak memerlukan penghujahan berasingan kerana tidak ada pihak pendakwaan yang menuntut hukuman dipertingkatkan.

Ujarnya, sudah terlambat untuk mendakwa penafian hak untuk didengari.

Bagaimanapun, pemohon memilih untuk tidak menjawab hujah-hujah itersebut. Oleh yang demikian, panel awal Mahkamah Persekutuan telah melaksanakan bidang kuasa rayuan secara adil mengikut Seksyen 87 dan 92 Akta Kehakiman Mahkamah.

Bekas Naib Presiden UMNO itu memfailkan permohonan semakan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 bagi mendapatkan kebenaran menyemak keputusan terdahulu atas alasan berlaku pelanggaran keadilan asasi.

Mohd Isa, 76, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan membebaskan beliau dan mengembalikan sabitan rasuah, hukuman penjara serta denda terhadapnya.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta, dengan tambahan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Difahamkan, denda tersebut belum dibayar buat masa ini.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 membebaskan Mohd Isa daripada semua sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu disabitkan menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel yang ketika itu adalah Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai dorongan untuk meluluskan pembelian MPHS oleh FICSB pada harga RM160 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast