BALIK PULAU – Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari bot di perairan Pulau Betong di sini, ditemukan lemas pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), semalam.
Mangsa, Tang Chin Khoon, 51, ditemukan pada kedudukan 5.9 batu nautika di barat Gertak Sanggul oleh komuniti nelayan kira-kira jam 2.30 petang.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Negeri Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sejurus menerima maklumat penemuan itu, Pasukan Polis Marin diatur gerak ke lokasi bagi menaikkan mayat mangsa ke darat.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk proses pengecaman oleh waris sebelum dihantar ke Hospital Balik Pulau bagi tindakan lanjut.
“Dengan penemuan jasad mangsa, operasi CARILAMAT ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.15 malam,” menurut kenyataan itu.
ARTIKEL BERKAITAN
Media sebelum ini melaporkan, mangsa yang merupakan awak-awak bot dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ketika keluar menangkap ikan bersama tiga lagi rakannya di perairan berhampiran Pulau Betong pada Rabu lalu. – MalaysiaGazette
















