Pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran. Foto Iran International

 

TEHERAN – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa telah melancarkan serangan ke atas Kuwait dan Bahrain sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas wilayah Iran, sambil memberi amaran sebarang pencerobohan lanjut akan dibalas dengan “tindak balas yang menghancurkan”.

Iran dan AS saling menuduh melanggar gencatan senjata yang rapuh, sekali gus menjejaskan rundingan yang bertujuan menamatkan perang di Asia Barat.

Dalam satu kenyataan, IRGC mendakwa telah “memusnahkan lapan kemudahan penting tentera AS” di Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait serta pangkalan Tentera Laut Armada Kelima AS di Pelabuhan Salman, Bahrain.

“Sebarang pencerobohan musuh, walau apa pun alasannya, termasuk terhadap sasaran yang dianggap tidak penting, akan menerima tindak balas yang menghancurkan,” menurut kenyataan itu.

Memorandum persefahaman yang dimeterai pada pertengahan Jun dengan pengantaraan Pakistan bertujuan menamatkan perang secara berkekalan.

Perjanjian yang ditandatangani Iran dan AS itu menetapkan kedua-dua negara serta sekutu masing-masing tidak akan memulakan peperangan atau operasi ketenteraan antara satu sama lain, selain mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan.

Bagaimanapun, tentera AS melancarkan serangan ke atas Iran untuk hari kedua berturut-turut pada hari Sabtu sebagai tindak balas terhadap dakwaan serangan Iran ke atas sebuah kapal tangki di Selat Hormuz.

Di bawah memorandum itu, Iran turut bersetuju membenarkan laluan selamat kepada kapal-kapal perdagangan tanpa sebarang bayaran selama 60 hari di Selat Hormuz, dari Teluk Parsi ke Laut Oman dan sebaliknya.

IRGC memaklumkan, langkah-langkah telah diambil untuk mengawal trafik perkapalan di selat berkenaan dan memberi amaran mana-mana kapal yang melanggar arahan akan dikenakan tindakan lebih tegas berbanding sebelum ini.

Sebelum ini, IRGC turut memberi amaran agar tiada kapal melalui Selat Hormuz tanpa kebenaran mereka.

Amaran itu dibuat selepas Oman, yang berkongsi pantai bertentangan dengan Iran, mencadangkan laluan alternatif untuk kapal-kapal perdagangan.

Menurut Iran, buat masa ini hanya satu koridor pelayaran di sepanjang pesisir pantainya dibenarkan untuk digunakan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast