Pergerakan kapal di Selat Hormuz. - Foto AFP

ISTANBUL – Iran pada Selasa menegaskan tidak akan membuka semula Selat Hormuz sehingga Amerika Syarikat (AS) memenuhi komitmennya di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kedua-dua pihak, lapor Anadolu Ajansi, memetik agensi berita IRNA.

Bercakap semasa sesi parlimen, Speaker Parlimen Mohammad Bagher Qalibaf berkata Tehran akan menggunakan cara diplomatik dan ketenteraan untuk membuat Washington “memahami akibat tindakannya.”

“Biar saya jelaskan, sehingga AS memenuhi komitmennya di bawah MoU termasuk menarik balik sekatan, melepaskan aset beku, menarik balik sekatan minyak, menamatkan ancaman dan operasi ketenteraan di semua bidang, dan melaksanakan syarat lain yang dijanjikannya di bawah memorandum, selat itu tidak akan dibuka semula,” katanya.

Qalibaf, yang turut berkhidmat sebagai ketua pasukan perunding Iran dalam perbincangan dengan AS, berkata Tehran sedang melaksanakan apa yang disifatkannya sebagai “kuasa logik dan logik kuasa” menerusi penyelarasan antara bidang diplomatik dan ketenteraan.

Beliau berkata tempoh yang disediakan oleh memorandum itu, termasuk menarik balik sekatan AS dan gencatan senjata, telah membantu Iran meningkatkan daya tahan ekonominya dan membina semula keupayaan pertahanan.

“Republik Islam Iran bersedia, setimpal dengan tindakan dan pencerobohan musuh, untuk mencipta kekalahan yang lebih teruk ke atasnya,” tambah Qalibaf.

Iran dan AS menandatangani MoU pada Jun melalui pengantaraan Pakistan dan Qatar bagi menamatkan permusuhan dan membuka tingkap 60 hari untuk rundingan ke arah perjanjian muktamad.

Perbincangan sejak itu terhenti di tengah-tengah pertikaian mengenai pelaksanaan memorandum dan pengaturan untuk pelayaran melalui Selat Hormuz yang merupakan laluan kritikal eksport minyak dan gas global. – BERNAMA-ANADOLU

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here