Sebuah tren Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) melalui Stesen LRT Johan Setia sempena Majlis Peluncuran Laluan Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 JUN 2026.

KLANG – Sebanyak lima stesen tambahan baharu LRT3 iaitu di Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanic akan dibina bagi memperluaskan liputan lagi operasi Laluan Shah Alam pada masa hadapan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pembinaan kesemua stesen itu akan dimulakan akhir tahun ini dalam usaha meningkatkan akses penduduk kepada rangkaian rel itu.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan sedang meneliti pembangunan berorientasikan transit(TOD) di beberapa kawasan strategik yang mempunyai tapak Park and Ride yang luas.

Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Seri Andalas, Kayu Ara, Johan Setia dan Bandar Bukit Tinggi.

“Hasrat kerajaan adalah untuk mengoptimumkan penggunaan tanah dan meningkatkan konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD).

“Kita mahu lebih banyak rumah mampu milik dibina berhampiran stesen supaya penduduk boleh berjalan kaki terus ke stesen dan menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Loke menambah, pendekatan TOD itu juga mampu menjana pulangan kepada kerajaan melalui kerjasama dengan sektor swasta, selain menyokong pembangunan bandar yang lebih mampan serta meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Menurut beliau, kawasan parkir sedia ada berpotensi dibangunkan secara bersepadu dengan pembinaan perumahan mampu milik, ruang komersial dan kemudahan awam, sambil mengekalkan fungsi parkir.

Pendekatan itu bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan tanah kerajaan, malah membolehkan lebih ramai penduduk tinggal berhampiran stesen dan berjalan kaki terus ke pengangkutan awam,” katanya.

Sementara itu, Loke turut mengumumkan pas My50 akan diterima di Laluan Shah Alam bermula 1 Ogos ini sebaik sahaja tempoh tambang percuma berakhir.

Beliau berkata pelaksanaan tambang percuma. peluasan rangkaian stesen, pembangunan TOD dan penyepaduan pas perjalanan dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan pengangkutan awam serta memberi manfaat kepada penduduk Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast