LAYANG-LAYANG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Layang-Layang, Chua Jian Boon optimis kerusi tradisi berkenaan akan kekal milik parti itu bersandarkan keutuhan Semangat Bangsa Johor yang menjadi teras perpaduan jentera mereka.
Mengakui memikul tanggungjawab besar apabila diberikan amanah bertanding di kubu kuat yang sebelum ini diwakili oleh UMNO, keyakinan untuk mengekalkan kemenangan BN di situ didorong oleh sokongan luar biasa jentera pelbagai kaum.
“Apabila ditanya bagaimana saya nak meyakinkan pengundi Melayu, ini antara soalan yang paling menarik. Dalam semangat keluarga BN ini, anda boleh tengok hari ini kita ramai orang ada MIC, MCA dan ada juga UMNO bersama-sama.
“Ini sudah membuktikan ini bukan sahaja semangat BN tetapi ini adalah semangat Bangsa Johor yang mengalu-alukan perpaduan dan keharmonian.
“Ini yang paling mustahak,” katanya ketika ditemui selepas program walkabout di Pekan Layang-Layang di sini.

Katanya, acuan unik Bangsa Johor yang mementingkan keharmonian menjadi benteng terbaik dalam menepis cubaan pihak lawan yang gemar memainkan sentimen perkauman demi politik sempit.
“Saya percaya pengundi Melayu dan seluruh masyarakat di DUN Layang-Layang sudah cukup matang untuk menilai prestasi kerja berbanding janji manis.
“Lagi pula, sebelum pembubarn DUN, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sudah membuat beberapa pengumuman untuk meneruskan bantuan serta menyelesaikan perkata berbangkit.
“Jadi, ia akan direalisasikan jika mendapat mandat daripada pengundi di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Jian Boon turut menepis persepsi kononnya MCA merupakan parti ‘golongan elit’ yang hanya menyantuni kelompok tertentu.
“Dakwaan sedemikian jauh terpesong daripada realiti sebenar. Bagi saya, apabila berjalan di kawasan Renggam termasuk Kampung Baru dan kedai-kedai, kita tidak menerima ‘angin’ (sentimen) seperti itu sebaliknya disambut dengan baik.
“Kita dengan rakyat ini berpisah tiada, lagi pula ini bukan kali pertama saya di sini.
“Setiap pak cik yang kita jumpa memang sudah biasa dengan kita. Kita boleh duduk di mana-mana kopitiam dan makan bersama-sama,” katanya lagi.

Jia Boon juga berkata, dalam tempoh kempen seharusnya tidak wujud pelbagai kritikan sebaliknya ia harus harmoni dan demokrasi.
“Sepanjang empat tahun kerajaan negeri berkhidmat, banyak rekod cemerlang yang sudah diberikan kepada rakyat.
“Macam bantuan Bantuan Kasih Johor, sudah empat tahun dilaksanakan, mengapa tahun keempat sahaja timbul pelbagai isu.
“Inilah jenis-jenis penghasutan. Kita menggalakkan supaya kempen ini dijalankan dengan sihat, beradab dan tanpa hasutan,” katanya lagi.
Sebagai bukti komitmen BN untuk memastikan Layang-Layang kekal maju, Jian Boon berkongsi berita gembira mengenai projek pembangunan semula kawasan kebakaran di Kampung Baru Layang-Layang yang telah tertangguh selama hampir 20 tahun, kini telah diluluskan secara rasmi oleh Menteri Besar Johor.
“Kepada para pengundi, saya sangat berharap agar terus memberikan mandat penuh kepada BN bagi membolehkan kesinambungan agenda pembangunan di DUN Layang-Layang diteruskan demi kesejahteraan seluruh Bangsa Johor. – MalaysiaGazette
















