Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memeluk ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz hadir mendengar keputusan rayuan akhir untuk mengetepikan pembebasannya berkaitan kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 JUN 2026

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan menangguhkan sehingga 13 Julai ini keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berikutan salah seorang hakim yang menganggotai panel itu, bercuti sakit hari ini dan esok.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais memaklumkan, keputusan yang sepatutnya disampaikan hari ini ditangguhkan kerana Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali tidak dapat menganggotai koram bersidang untuk menyampaikan keputusan tersebut.

Bagaimanapun, menurut beliau, seorang lagi ahli panel, Datuk Collin Lawrence Sequerah hadir di mahkamah.

Namun demikian, ketika mahkamah bersidang, Collin yang juga hakim Mahkamah Persekutuan tidak duduk bersama beliau dalam barisan panel tersebut.

“Saya dan Yang Arif Datuk Collin ada di mahkamah tetapi Yang Arif Datuk Che Ruzima Ghazali tidak bersama hari ini. Kami diberitahu lewat petang semalam bahawa Yang Arif Che Ruzima tidak sihat dan bercuti rehat hari ini dan esok.

“Tidak sesuai bagi panel ini untuk mengumumkan keputusan tanpa kehadiran seorang lagi ahli koram.

“Kami bersedia untuk menyampaikan keputusan, namun malangnya, ia tidak dapat dilakukan hari ini, kami bersedia pada 13 Julai ini,” ujar beliau.

Mahkamah tertinggi negara sepatutnya memutuskan rayuan akhir pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Ahli Parlimen Muar itu daripada sabitan, hukuman dan denda terhadapnya.

Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 34, daripada hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta bagi empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan AMLA.

Pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, merayu untuk mengetepikannya dan memohon keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023 yang mensabit dan menghukumnya, dikekalkan.

Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala pasukan peguam diketuai oleh Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu, melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 dan 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast