MELAKA – Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan berusia lapan dan 10 tahun di sebuah stor masjid di Semabok di sini minggu lalu.
Tertuduh, Aziz Mohammad @ Teh Eng Guan, 73, membuat pengakuan itu sebaik dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan cara memegang kemaluan, memeluk dan mencium pipi kiri serta kanan mangsa pada 15 Jun 2026.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan memeluk dan mencium pipi kiri serta kanan mangsa berusia lapan tahun kira-kira seminggu selepas itu, iaitu pada 22 Jun.
Semua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.05 petang di bahagian bilik stor Masjid Al-Abrar, Semabok, dalam daerah Melaka Tengah.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menunggu ahli keluarganya mengambil mangsa pulang dari sekolah sebelum diperlakukan demikian oleh lelaki berkenaan.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebatan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi serta melapor diri di balai polis sekali setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan paling rendah kerana warga emas itu masih menyara seorang anak perempuan yang juga penghidap Autisme selain tertuduh pesakit kronik diabetes.
Anak guamnya juga tiada pendapatan tetap dan hanya bergantung hasil membantu kerja-kerja di masjid.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan sama dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan perubahan sikap dua murid perempuan sebuah sekolah rendah di Semabok, di sini membongkar kejadian disyaki dicabul lelaki warga emas berusia 73 tahun berulang kali dalam stor masjid.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, suspek turut bertindak keji ‘mengumpan’ RM5 dan mi goreng sebelum membawa mereka ke dalam stor malah, perbuatan tidak bermodal itu sudah berlaku berulang kali. – MalaysiaGazette
















