Andrew Chen mengadakan sidang akhbar di Taman Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Rakyat perlu menghalang Barisan Nasional (BN) mendapat majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.

Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng berkata, sekiranya mendapat dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), BN akan mempunyai kuasa untuk berbuat sesuka hati untuk kepentingan politik mereka dalam DUN.

Beliau yang juga calon kerusi PH bagi DUN Stulang berkata, perkara sedemikian berlaku semasa DUN Johor meluluskan cadangan berkenaan ADUN lantikan.

Dakwanya, walaupun usul ADUN lantikan itu diluluskan di DUN kerana kerajaan mempunyai majoriti dua pertiga, hanya seorang sahaja dibenarkan untuk berbahas.

“Sepatutnya dua wakil ADUN Pengimbang tetapi telah ditukar kepada hanya seorang wakil sahaja untuk berbahas mengenai ADUN lantikan pada ketika itu.

“Pada pandangan saya, kita perlu memberi peluang kepada semua pihak untuk berbahas dan menyatakan pandangan masing-masing. Tidak perlu takut kerana DUN merupakan pentas untuk berbahas dan bertukar pandangan secara demokratik.

“Oleh itu, kami berharap PRN kali ini kita perlu menggunakan kuasa mengundi kita agar DUN Johor boleh diperkasakan dengan semangat demokratik yang lebih berkesan dengan bertambahnya ADUN PH serta BN tidak menguasai dua pertiga daripada jumlah ahlinya,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Pelangi di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan bekas ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung.

Mengulas lanjut, Andrew yang juga Setiausaha DAP Johor berkata, pengimbang memang membantah kerana ADUN lantikan itu boleh melemahkan semangat DUN Johor.

“Jika ingin menambah perwakilan di DUN, cadangan kami sebenarnya adalah membuat persempadanan semula,” ujarnya.

Dengan cara itu katanya, akan dapat meningkatkan jumlah ADUN dan mempunyai taburan jumlah pengundi yang lebih seimbang.

Maka katanya, ADUN yang dipilih ini dapat berkhidmat dan berhujah dengan lebih bertanggungjawab kerana telah diberi mandat oleh rakyat.

“Sejak kami dipilih menjadi wakil rakyat, kami telah menjadi pembangkang yang konstruktif dan sentiasa memberi pandangan yang ikhlas kepada kerajaan negeri untuk membangunkan Johor,” ujarnya.

Tambahnya, pengimbang tidak pernah berhujah secara sinis malah dengan penuh keihklasan dan tanggungjawab.

“Kita sebagai wakil rakyat perlu memperkasakan semangat dewan, bukan melemahkan semangat demokrasi dewan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast