BUKIT GAMBIR – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Sahrihan Jani mengakui masih banyak yang perlu dilakukan beliau dari segi pembangunan dan kebajikan rakyat meskipun sebelum ini lebih empat tahun bergelar wakil rakyat di kawasan itu.
Sehubungan itu, Sahrihan merayu lebih 30,000 pengundi di DUN Gambir memberinya peluang sekali lagi supaya beliau dapat meneruskan kerja-kerja pembangunan dan kebajikan rakyat yang dilakukan sebelum ini.
Menurutnya, sejak diberi amanah dan kepercayaan untuk berkhidmat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, beliau sentiasa berusaha sedaya upaya mendekati masyarakat, mendengar setiap suara, menyantuni mereka yang memerlukan serta membawa pelbagai usaha demi kesejahteraan DUN Gambir.
“Saya sedar, sudah tentu masih ada kekurangan.
“Namun, saya tidak pernah berhenti belajar, memperbaiki diri dan bekerja lebih kuat demi memastikan setiap amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sehubungan itu, tambah Sahrihan, sekiranya ditakdirkan Allah SWT dan penduduk DUN Gambir sekali lagi memberikan kepercayaan kepadanya, beliau akan terus bekerja lebih gigih, mendengar suara rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Selain itu, ujarnya, beliau juga berjanji akan meneruskan agenda pembangunan demi kemajuan DUN Gambir.
Pada PRN lalu, Sahrihan memenangi kerusi DUN Gambir dengan majoriti 3,146 undi selepas memperoleh 7,960 undi dalam persaingan empat penjuru.
Beliau menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Na’im Jusri yang mendapat 4,509 undi; Mohd Solihan Badri (PN – 4,814 undi) dan Suraya Sulaiman (Pejuang – 220 undi). – MalaysiaGazette















