VKK Rajasekaran

JOHOR BHARU – MUDA menyifatkan seruan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya pengundi Melayu hanya memilih calon Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai langkah ke belakang di negara ini.

Bendahari Agung Nasional MUDA, VKK Rajasekaran Teagarajan berkata, pendekatan sedemikian tidak lagi sesuai dalam landskap politik semasa kerana rakyat seharusnya memilih wakil berdasarkan integriti, keupayaan dan rekod perkhidmatan, bukannya kaum atau latar belakang etnik.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menggesa pengundi Melayu supaya memberikan sokongan kepada calon Melayu tanpa mengira parti atau ideologi, atas alasan kepentingan orang Melayu perlu terus dipertahankan melalui dominasi wakil Melayu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Rajasekaran, seruan itu memberi gambaran bahawa kepentingan sesuatu kaum hanya boleh diperjuangkan oleh wakil daripada kaum yang sama.

Sedangkan tanggungjawab seorang wakil rakyat adalah mewakili keseluruhan masyarakat di kawasan yang diwakilinya.

“Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang memberi ruang kepada rakyat memilih individu paling layak untuk membawa suara mereka ke Dewan Rakyat atau DUN.

“Kelayakan itu sepatutnya diukur melalui integriti, kemampuan menyelesaikan masalah rakyat, rekod perkhidmatan dan visi untuk masa depan, bukannya warna kulit atau keturunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menjadikan kaum sebagai syarat utama untuk menentukan sokongan politik hanya akan mengetepikan aspek yang lebih penting iaitu kebolehan seseorang calon berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.

Rajasekaran turut berpandangan sejarah politik negara membuktikan sentimen perkauman sering digunakan bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada isu yang lebih mendesak termasuk kelemahan tadbir urus, ketirisan, rasuah dan kegagalan dasar yang memberi kesan kepada semua rakyat.

Dalam masa sama, beliau berkata, Malaysia ketika ini sudah berdepan perpecahan politik yang ketara dalam kalangan pengundi Melayu sendiri apabila pelbagai parti bersaing mendapatkan sokongan kelompok pengundi yang sama.

“Menambah lagi seruan supaya rakyat mengundi semata-mata berdasarkan kaum hanya akan memperdalam perpecahan yang sedia wujud dan mengelirukan pengundi mengenai keutamaan sebenar dalam memilih wakil rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan kenyataan sedemikian boleh menghantar mesej kepada masyarakat bukan Melayu penyertaan mereka dalam politik arus perdana masih dinilai melalui lensa kaum dan bukannya berdasarkan kebolehan atau merit.

Katanya, keadaan itu bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap warganegara untuk mengundi dan bertanding dalam pilihan raya tanpa mengira kaum, agama atau keturunan.

Rajasekaran berkata, MUDA kekal berpendirian politik negara perlu bergerak ke arah persaingan yang berpaksikan dasar, akauntabiliti dan prestasi, sambil mengiktiraf realiti bahawa setiap komuniti mempunyai cabaran sosioekonomi yang berbeza dan perlu ditangani menerusi dasar yang inklusif.

“Pengundi seharusnya menilai calon berdasarkan kemampuan mereka menyelesaikan isu yang dekat dengan kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, banjir, kemudahan awam dan tadbir urus yang baik.

“Wakil rakyat yang berkualiti ialah mereka yang membawa suara semua penduduk di kawasannya, bukan hanya mewakili satu kaum.

“Kepimpinan yang sebenar bukan membina sokongan melalui ketakutan atau sentimen perkauman, sebaliknya menawarkan harapan, penyelesaian dan dasar yang mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast