Pengguna, Muhammad Alif Daniel ketika mengisi diesel pada hari pertama pelaksanaan Program BUDI MADANI Diesel di Stesen Minyak Caltex Presint 8, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 Julai 2026.

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Program BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) memberi kelegaan kepada pengguna, khususnya golongan bekerja sendiri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), apabila ia membantu mengurangkan beban kos bahan api bulanan.

Beberapa pengguna yang ditemui menyifatkan proses permohonan program itu sebagai mudah dan tidak membebankan kerana hanya memerlukan pengesahan kelayakan secara dalam talian tanpa borang rumit.

Seorang pengguna, Muhammad Alif Daniel berkata, program tersebut amat membantu dalam mengurangkan kos harian, terutamanya bagi mereka yang kerap menggunakan kenderaan untuk urusan kerja.

Beliau yang  mengisi diesel sekitar dua kali seminggu berkata,  proses permohonan sebagai sangat mudah kerana hanya perlu semakan kelayakan berdasarkan pendaftaran kenderaan.

“BUDI Diesel membantu mengurangkan bebanan sebab kebanyakan orang yang pakai kereta ini termasuk mereka yang meniaga kecil-kecil. Sangat membantu dalam bebanan isi diesel,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Syafiq Aiman Sharol pula berkata, beliau jimat antara RM500 hingga RM1,000 sebulan hasil penggunaan subsidi BUDI Diesel, sekali gus memberi kesan besar kepada perbelanjaan bulanan.

Pengguna, Syafiq Aiman Sharol, menunjukkan aplikasi Caltex ketika mengisi diesel pada hari pertama pelaksanaan Program BUDI MADANI Diesel di Stesen Minyak Caltex Presint 8, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 Julai 2026.

“Setiap bulan lebih kurang RM500 hingga RM1,000 dapat jimat, berbanding sebelum ini dengan kos diesel yang tinggi,” katanya.

Tambahnya, proses penggunaan BUDI Diesel hampir sama dengan sistem subsidi petrol RON95, sekali gus memudahkan pengguna menyesuaikan diri.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Syahriza Amri Jaafar yang bekerja sebagai juruterbang berkata, penggunaan BUDI Diesel sangat membantu dalam mengurangkan kos perjalanan harian antara Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Pengguna, Shahrizal Amri Jaafar, menunjukkan resit pembelian diesel pada hari pertama pelaksanaan Program BUDI MADANI Diesel di Stesen Minyak Caltex Presint 8, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 Julai 2026.

Seorang lagi pengguna, Muhammad Fakhrul Hakimin memberitahu, walaupun bantuan tersebut tidak besar, ia tetap memberi impak ketara dalam menampung kos bulanan terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

“Walaupun saya ada banyak bekerja di luar, BUDI Diesel ini cukup-cukup membantu menampung kos perbelanjaan minyak saya,” katanya yang mengisi bahan api itu  sehingga 15 hingga 16 kali sebulan.

Lantaran itu, katanya, inisiatif yang diperkenalkan kerajaan menjadikan ia sangat bermakna bagi pengguna aktif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast