JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) mengakui konflik dalaman yang berlaku dalam Barisan Nasional (BN) berpotensi memberi kelebihan kepada gabungan itu, namun enggan bergantung kepada kelemahan pihak lawan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustapha berkata, fokus utama PH kekal kepada usaha memperkukuhkan gerak kerja sendiri.
“Kita mengambil pusing sangatlah dengan masalah dalaman mereka (BN), yang saya kira mereka kena selesaikan tapi kita sangat fokus,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas melakukan walkabout di sekitar premis perniagaan dan kedai makan di Taman Desa Rahmat, di sini, hari ini.
Turut hadir calon PH N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad.
Beliau berkata demikian mengulas masalah dalaman BN Johor termasuk perbalahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zakashi dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang masih berlarutan sehingga kini.
Zaliha juga mendedahkan terdapat penyokong UMNO mula menunjukkan kecenderungan memberi sokongan kepada calon PH ketika beliau turun berkempen di beberapa kawasan.
“Ada yang datang bertemu calon kita dan daripada bahasa tubuh mereka, kita dapat lihat kecenderungan itu (beri sokongan kepada PH).
“Namun kita tidak mahu menang kerana kelemahan mereka, sebaliknya kerana kekuatan kerja kita sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















