ENDAU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Saiful Nizam Samat telah mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung dengan isu liputan internet yang lemah di enam lokasi dalam kawasan berkenaan.
Beliau berkata, aduan itu dibuat berikutan tinjauan yang dijalankan bersama pasukannya di lokasi terlibat termasuk Kampung Hubong Barat; Kampung Tanjung Endau; Jalan Endau Utama; Perumahan SPKR Tenglu; Taman Air Merah Makmur dan Jalan Sempadan Kampung Air Merah-Kampung Bahagia.
Menurutnya, hasil tinjauan mendapati beberapa kawasan di Endau mengalami capaian internet yang perlahan dan tidak stabil, manakala sebahagian lokasi langsung tiada liputan rangkaian.
Tambahnya, keadaan itu turut memberi kesan kepada urusan pembelajaran, perniagaan kecil serta komunikasi kecemasan penduduk setempat.
“Capaian internet bukan lagi suatu kemewahan, sebaliknya keperluan asas yang perlu dinikmati oleh setiap rakyat tanpa mengira lokasi,” katanya yang juga Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mersing.

Terdahulu, Saiful Nizam turun padang meninjau sendiri lokasi-lokasi yang dikenal pasti selepas menerima aduan daripada penduduk berkenaan masalah tersebut untuk dipanjangkan kepada MCMC.
Menurutnya, semua aduan dan maklumat yang dikumpulkan telah didokumentasikan dan disalurkan kepada pihak MCMC bagi membolehkan penilaian teknikal serta tindakan penambahbaikan dilaksanakan dengan kadar segera demi kepentingan rakyat DUN Endau.
Tambahnya, beliau percaya pembangunan teknologi dan ekonomi digital tidak akan dapat berkembang tanpa capaian internet yang berkualiti.
“Internet dan teknologi saling bergantung antara satu sama lain.
“Jika kita mahu Endau melahirkan lebih ramai usahawan digital, memperkasa pendidikan, membangunkan sektor agroteknologi, menarik pelaburan serta memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana, maka infrastruktur telekomunikasi mesti diperkasakan terlebih dahulu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap MCMC dapat memberikan perhatian sewajarnya terhadap isu yang dibangkitkan tersebut agar penduduk Endau dapat menikmati capaian internet yang lebih stabil, pantas dan berkualiti, selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan.
“Endau tidak boleh terus ketinggalan dalam era digital.
“Kemajuan teknologi bermula dengan infrastruktur telekomunikasi yang kukuh, dan setiap rakyat berhak menikmati kemudahan tersebut tanpa mengira di mana mereka berada,” katanya. – MalaysiaGazette















