Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 30 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menjelaskan jumlah RM571.9 juta bagi perolehan sistem peluru berpandu anti-kapal Naval Strike Missile (NSM) untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) bukan merupakan bayaran pendahuluan sebaliknya dibuat mengikut kemajuan kerja yang telah disahkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika pembayaran dibuat, semua sistem NSM buatan Norway itu telah siap dihasilkan, melepasi ujian ditetapkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan berada dalam keadaan sedia untuk dihantar ke negara ini.

“Pembayaran dibuat selaras dengan syarat kontrak bukannya secara pendahuluan tanpa kemajuan fizikal,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PN-Pasir Gudang) yang mempersoalkan pembayaran penuh nilai kontrak RM571.9 juta yang dibuat terlalu awal.

Mengulas isu pembatalan lesen eksport oleh kerajaan Norway, Mohamed Khaled berkata, dakwaan bahawa kontrak itu tidak mempunyai klausa melindungi kepentingan kerajaan adalah tidak tepat.

Menurutnya, kontrak berkenaan mengandungi peruntukan yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan sekiranya berlaku kegagalan pelaksanaan atau pelanggaran obligasi oleh pihak terbabit.

“Pembatalan lesen eksport merupakan keadaan di luar kawalan kerajaan Malaysia dan syarikat pembekal. Kementerian sedang menggunakan peruntukan dalam kontrak untuk melindungi kepentingan kerajaan, termasuk mengemukakan tuntutan mendapatkan semula bayaran serta ganti rugi berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast