KULAI – Bahan kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern di beberapa kawasan dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.
Arthur berkata, perbuatan tersebut dikesan pukul 9 pagi semalam di Kampung Rahmat, Kampung Sri Paya dan Putri Hartamas.
Pihaknya melahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan sabotaj dan perbuatan khianat ke atas bahan kempennya.
“Bendera parti PH dicampakkan ke dalam longkang, manakala beberapa papan tanda (billboard) kempen turut dikoyakkan dalam kejadian di Kampung Sri Paya.
“Kejadian sama juga berlaku di Taman Putri, billboard dan bendera kena sabotaj. Bagaimanapun, setakat ini kita tidak tahu siapa pelaku,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama N.51 Bukit Batu, Taman Impiana di sini hari ini.
Pihaknya kemudian membuat satu laporan polis di Balai Polis Air Bemban bagi membolehkan siasatan dijalankan dan mengenal pasti pihak yang berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kulai berkata, walaupun berdepan provokasi perkara itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus berkempen bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Beliau menyeru semua pihak agar mengamalkan politik matang dan berkempen secara harmoni tanpa melibatkan sebarang unsur permusuhan atau khianat.
Pada PRN Johor yang lalu, Arthur Chiong menang dengan majoriti tipis iaitu 137 undi selepas mendapat keseluruhan 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Batu.
Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Kulai menewaskan S Suppayah (Barisan Nasional) 9,302 undi; Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) 4,334 undi dan Lee Ming Wen (Parti Warisan) 1,053 undi.
Susulan itu, MIC yang tidak berpuas hati dengan kemenangan tipis itu menuntut SPR mengira semula kertas undi kerusi DUN Bukit Batu.
Suppayah yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat mahukan pengiraan semula kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak dan mendakwa berlaku ketirisan, ketika proses pengiraan undi.
Beliau juga mendakwa permintaannya untuk mengira semula undi di beberapa pusat pengundian ditolak oleh pegawai SPR dan penolakan permintaannya itu tidak mematuhi undang-undang kecil pilihan raya.
Suppayah kemudian membuat laporan polis sebelum mengemuka petisyen pilihan raya.
Mahkamah pilihan raya pada 29 Jun 2022 memutuskan kemenangan Arthur Chiong Sen Sern pada PRN Johor, bagi kerusi DUN Bukit Batu Mac lalu adalah sah. – MalaysiaGazette
















