KUALA LUMPUR – Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menyelar pihak yang memainkan sentimen dan mencipta kebimbangan dalam kalangan rakyat setiap kali pilihan raya termasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, tindakan sedemikian mengalihkan perhatian daripada apa yang benar-benar mahu didengari oleh rakyat.
Hakikatnya, tegas beliau, rakyat mengundi untuk menentukan siapa yang mampu mentadbir, membangunkan ekonomi, menjaga kebajikan dan membawa masa depan yang lebih baik.
“Jangan hina kebijaksanaan pengundi dengan menganggap mereka hanya boleh dipengaruhi melalui propaganda dan momokan.
“Berpolitiklah dengan fakta. Bertandinglah dengan idea. Menanglah dengan kepercayaan rakyat,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Nurulhidayah merujuk kepada laporan yang memetik kenyataan pemimpin parti lawan yang menyifatkan Johor akan `jahanam’ sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali memerintah negara.
Selain itu, beliau turut berkongsi laporan media yang menyimpulkan isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1MDB mendominasi kempen Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu, Nurulhidayah mengingatkan rakyat Johor bukan mudah dipermainkan dan tidak mengundi hanya kerana takut.
“Mereka mengundi kerana mahu pemimpin yang berani bekerja, berani memikul amanah dan berani berhadapan dengan realiti,” katanya. – MalaysiaGazette
















