KOTA TINGGI – Seramai 54 peratus pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja adalah golongan muda sekali gus memainkan peranan signifikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Pasir Raja, Fakharuddin Moslim berkata, peratusan tersebut adalah besar dan boleh membawa perubahan untuk masa depan mereka.
“Golongan muda wajar merebut peluang untuk menjadi pemangkin perubahan dengan keluar mengundi dan memilih kepimpinan yang membawa idea baharu.
“Ini lebih dekat dengan aspirasi rakyat serta benar-benar komited menyelesaikan isu setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau bertemu orang ramai dan berkempen di kawasan komuniti Tionghoa di Kampung Sungai Telor di sini.

Fakharuddin berkata, sebagai calon muda beliau memahami cabaran yang dihadapi generasi hari ini sama ada berkaitan peluang pekerjaan, pendidikan, keusahawanan, kemudahan belia mahupun pembangunan infrastruktur yang lebih selamat dan berkualiti.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tenggara itu berkata, masa depan Pasir Raja bergantung dengan keberanian golongan muda membuat pilihan yang tepat.
“Saya menyeru seluruh pengundi muda agar menggunakan hak mengundi dengan sebaiknya. Jangan biarkan orang lain menentukan masa depan kita.
“Ayuh kita bersama-sama mencipta perubahan dan membina DUN Pasir Raja yang lebih maju, progresif dan memberi harapan kepada semua,” ujarnya.
Fakharuddin bakal berdepan saingan tiga penjuru di DUN Pasir Raja yang mempunyai 29,818 pengundi berdaftar, menentang calon BN, Datuk Seri Dr Adham Baba dan calon Perikatan Nasional (PN), Yuhanita Yunan.
PRN Johor dijadual berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.- MalaysiaGazette
















