KUALA LUMPUR – Semua permohonan kuota pekerja asing kini perlu dikemukakan melalui modul e-Kuota dalam sistem Foreign Worker Centralized Management System (FWCMS) yang dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, ia susulan pemindahan Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (OSC) ke bawah Kesuma, selaras keputusan Jemaah Menteri 1 Julai lalu yang berkuat kuasa serta-merta.
Menurutnya, kerajaan telah menamatkan amalan kelulusan kuota pekerja asing secara kes demi kes dengan mewajibkan semua permohonan dibuat menerusi sistem digital.
Kaedah ini sekali gus menghapuskan budaya beratur dan campur tangan pihak tertentu, katanya.
Ramanan berkata, pendekatan itu adalah sebahagian daripada insiastif strategik kerajaan untuk memperkukuhkan tadbir urus pengambilan kuota pekerja asing secara berkesan bagi memastikan rantaian operasi industri tenaga kerja tidak terjejas.
“Melalui FWCMS ini memang tiada que (giliran), tiada kesesakan atau masalah.
“Saya atau timbalan menteri tidak akan terlibat seperti beri tambah kuota atau fastlane, semua perlu mohon melalui sistem ini, sangat-sangat telus,” katanya dalam sidang media khas di Wisma HRDCorp di sini hari ini.
Tambah Ramanan, Kesuma mempunyai kawalan penuh terhadap terhadap sistem FWCMS termasuk kod sumber dan akses pentadbiran yang dipegang sepenuhnya oleh Ketua Setiausaha Kesuma.
Tambahnya, Kesuma juga akan mengadakan pertemuan sesi libat urus bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan dalam masa terdekat, termasuk menguruskan segala aspek logistik berkaitan pengoperasian OSC.
Ujarnya lagi, penambahbaikan lain turut melibatkan permohonan kuota pekerja warga asing dibuka kepada semua negara sumber yang dibenarkan melibatkan 15 negara.
“Daripada 15 negara terbabit, sebanyak 12 negara sumber yang aktif melibatkan Bangladesh, India, Nepal, Myanmar, Pakistan, Vietnam, Kemboja, Thailand, Indonesia, Filipina, Sri Lanka dan Laos.
“Manakala tiga negara sumber yang dikategorikan tidak aktif adalah Uzbekistan, Kazakhstan dan Turkmenistan. Namun proses saringan dokumen kini boleh dilaksanakan sepenuhnya dalam talian,” jelasnya.
Ramanan berkata, pendekatan ini bagi meningkatkan ketelusan, menguruskan kesesakkan di kaunter, mempercepatkan tempoh pemprosesan melibatkan agen serta menghapuskan sistem giliran atau campur tangan pihak ketiga.
Setakat ini, katanya, sebanyak 22,476 permohonan melibatkan 548 syarikat diproses menerusi penggunaan sistem baharu itu. – MalaysiaGazette
















