KUALA LUMPUR – Mah Sing Group Berhad mengumumkan pelancaran M Azura iaitu sebuah pembangunan apartmen servis dua menara di Setapak, Kuala Lumpur yang dibangunkan menerusi anak syarikat milik penuhnya, M Azura Sdn Bhd.
Projek dibangunkan bagi memenuhi permintaan berterusan terhadap pemilikan rumah dalam kalangan keluarga Melayu dan golongan profesional muda di salah satu kawasan kediaman paling matang di koridor utara Kuala Lumpur.
Ia merupakan gabungan kesalinghubungan bandar, keakraban kejiranan, infrastruktur dan kemudahan berorientasikan keluarga secara konsisten menyokong keyakinan pembeli.
Pemaju hartanah itu berkata, komposisi pembeli di Setapak secara tradisinya cenderung kepada komuniti Melayu, yang menyumbang kira-kira 80 peratus daripada minat jualan yang direkodkan bagi M Azura setakat ini.
Tumpuan tersebut mencerminkan ciri demografi kawasan itu yang telah lama dikenali sebagai kawasan kediaman majoriti Melayu, kedudukannya yang berhampiran institusi komuniti, masjid dan infrastruktur makanan halal yang telah sedia wujud dan ketiadaan penawaran baharu yang setanding pada harga permulaan RM381,000 dalam kawasan yang sama.
“M Azura terletak di atas tapak komersial pegangan pajakan seluas 4.036 ekar di Jalan 26/26, Mukim Setapak merangkumi dua menara setinggi 40 tingkat dengan jumlah keseluruhan 1,140 unit.
“Pembangunan ini menawarkan tiga konfigurasi unit yang direka bagi memenuhi keperluan isi rumah dengan saiz berbeza iaitu satu pertimbangan praktikal dalam pasaran yang masih menyaksikan kediaman keluarga berbilang generasi sebagai komponen penting permintaan.
“Unit ditawarkan pada harga bermula RM381,000 dengan anggaran yuran penyelenggaraan sebanyak 30 sen bagi setiap kaki persegi di mana pembeli turut boleh memilih unit yang menghadap sama ada pemandangan kolam renang atau pemandangan bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mah Sing berkata, setiap unit dilengkapi satu hingga dua petak parkir di mana pembangunan ini memperoleh Pensijilan Sementara GreenRE Perak dan tertakluk kepada penilaian kualiti QLASSIC, sekali gus menyediakan penanda aras jaminan kualiti bebas kepada pembeli.
Program kemudahan M Azura mencerminkan keutamaan kumpulan pembeli utamanya bagi keluarga yang memerlukan pelbagai kemudahan bersama bagi menyokong kehidupan isi rumah yang aktif tanpa perlu menanggung kos tambahan di lokasi pihak ketiga.
“Daya tarikan Setapak kepada kumpulan pembeli utamanya bukan semata-mata didorong faktor harga, sebaliknya mencerminkan keserasian yang lebih mendalam antara infrastruktur sosial dan keagamaan sedia ada di kawasan itu dengan keperluan gaya hidup keluarga Melayu.
“Kawasan tersebut dilengkapi dengan masjid, surau, pilihan makanan halal dan pasar basah yang menjadi sebahagian penting daripada rutin harian isi rumah komuniti yang menjadi sasaran pembangunan M Azura.
Dari segi kesalinghubungan fizikal, M Azura terletak kira-kira 8 kilometer dari Suria KLCC dengan akses menerusi Lebuhraya DUKE, MRR2, SPE, SUKE dan Lebuhraya Karak selain Tiga stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai, Wangsa Maju dan Setiawangsa. – MalaysiaGazette
















