JOHOR BAHRU – Polis Johor menerima 56 laporan polis berkaitan kesalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 sepanjang tempoh mula berkempen, Sabtu lalu hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 18 kertas siasatan dibuka termasuk 10 kes baharu bagi tempoh yang sama.
“Bagi 10 kertas siasatan yang baharu dibuka, satu kes adalah di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.
“Satu lagi kes di bawah Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kesalahan kempen pilihan raya dan batasannya.
“Selain itu, lapan kes di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Ab Rahaman berkata, secara kumulatif bagi tempoh itu pihaknya juga menerima 3,484 permohonan permit bagi ceramah dan aktiviti kempen dengan 3,215 daripadanya diluluskan.
Katanya, sebanyak 3,182 program politik turut dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Ab Rahaman berkata, situasi keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini sepanjang PRN Johor kali ini kekal berada pada tahap yang baik.
“Polis Johor akan terus meningkatkan kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang PRN Johor Ke-16 ini, serta tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan tegas, adil dan berintegriti terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.
“Orang ramai diseru supaya terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi dan memberikan kerjasama penuh kepada petugas di lapangan bagi memastikan PRN Johor berlangsung dalam suasana aman, selamat dan harmoni,” katanya.- MalaysiaGazette
















