PASIR GUDANG – Menimba pengalaman sebagai aktivis kemanusiaan selain merupakan seorang doktor membentuk peribadi Dr Zamil Najwah Arbain untuk sentiasa membantu mereka yang memerlukan.
Didorong mahu membantu masyarakat dalam jumlah yang lebih ramai dan mahu membawa perubahan, Dr Zamil Najwah tidak menoleh ke belakang lagi.
Beliau menawarkan diri untuk calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Dr Zamil tekad membawa perubahan dengan memberi tumpuan kepada isu-isu asas yang membelenggu penduduk di daerah ini.
Pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Zamil Najwah berkata, hasil tinjauannya di beberapa kawasan khususnya di Taman Cendana mendapati masih terdapat masalah yang sudah berlarutan bertahun-tahun tanpa penyelesaian.
“Antara isu paling mendesak ialah penyelenggaraan rumah pangsa Taman Cendana di sini, termasuk lampu koridor di sebuah blok yang didakwa tidak berfungsi sejak tahun 2020.
“Saya bertemu dengan komuniti penduduk di Taman Cendana dan mereka mengadu mengenai masalah penyelenggaraan flat.
“Ada ketua blok memaklumkan lampu koridor tidak berfungsi sejak tahun 2020, namun sehingga kini masih tiada tindakan. Sedangkan perkara yang diminta bukanlah sesuatu yang besar, hanya kemudahan asas untuk keselamatan penduduk,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Taman Cendana di sini hari ini.
Selain isu kemudahan asas, Dr Zamil Najwah juga mendapat aduan mengenai isu pemilikan rumah pangsa Taman Cendana yang masih belum menemui penyelesaian, walaupun pernah diumumkan kerajaan negeri pada tahun 2015.
Katanya, ketika itu kerajaan negeri dilaporkan bersetuju menjual lebih 1,500 unit rumah pangsa kepada penyewa pada harga RM35,000 seunit.
Namun katanya dimaklumkan sehingga kini penduduk masih menunggu pelaksanaannya.

“Sudah beberapa kali Menteri Besar bertukar, tetapi isu ini masih belum selesai. Penduduk, yang kebanyakannya daripada golongan B40, masih menunggu tanpa kepastian untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.
Mengulas isu kesesakan trafik yang sering menjadi rungutan penduduk di Pasir Gudang, beliau berpandangan pembinaan jalan baharu semata-mata bukan penyelesaian jangka panjang.
Sebaliknya Dr Zamil Najwah berkata, kerajaan perlu memberi penekanan kepada pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh.
“Masalah kesesakan ini bukan sahaja di Pasir Gudang, malah di beberapa kawasan lain di Johor. Membesarkan jalan mungkin membantu, tetapi saya tidak fikir ia penyelesaian yang komprehensif.
“Kita memerlukan sistem pengangkutan awam yang lebih efisien supaya rakyat mempunyai pilihan selain bergantung kepada kenderaan persendirian,” ujarnya.
Mengulas hala tuju sekiranya diberi mandat mewakili DUN Permas, Dr Zamil Najwah mahu memberi tumpuan kepada penyelesaian isu-isu asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Banyak isu telah lama dibangkitkan. Jika dalam tempoh sepenggal jika saya dapat membantu menyelesaikan sekurang-kurangnya dua isu utama seperti penyelenggaraan flat dan pemilikan rumah, saya percaya ia sudah cukup bermakna kepada penduduk,” katanya yang aktif dalam misi kemanusiaan ke Gaza pada 2013 dan Beirut pada 2016.
Dr Zamil Najwah bakal bertemu penyandangnya, Baharudin Taib daripada Narisan Nasional, Sharon Teo yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan T Vela mewakili Perikatan Nasional (PN).- MalaysiaGazette
















