Mohd Fared berkata, hubungan Barisan Nasional (BN) Johor dengan golongan muda bukan dibina ketika musim pilihan raya, sebaliknya dipupuk sejak mereka berada di bangku sekolah menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan yang dilaksanakan kerajaan negeri.

BATU PAHAT – Hubungan Barisan Nasional (BN) Johor dengan golongan muda bukan dibina ketika musim pilihan raya, sebaliknya dipupuk sejak mereka berada di bangku sekolah menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pendekatan itu menjadi antara kekuatan jentera BN dalam mendekati pengundi muda yang kini menjadi kelompok penting pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, kebimbangan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi terhadap kemungkinan pengundi berusia 18 hingga 25 tahun terpengaruh dengan hasutan adalah berasas namun BN mempunyai rekod kerja yang boleh dinilai golongan berkenaan.

“Pasukan UMNO, BN dan MCA di Semerah tidak bekerja sebab pilihan raya sebaliknya hubungan kami dengan anak muda sudah lama terjalin sejak mereka di bangku sekolah lagi.

“Hubungan dengan pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bukan baru PRN ini kita buat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

BN di Semerah tidak bekerja sebab pilihan raya sebaliknya hubungan dengan anak muda sudah lama terjalin sejak mereka di bangku sekolah lagi.

Mohd Fared yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, antara usaha yang dilaksanakan ialah bantuan makan tengah hari kepada pelajar SPM dan STPM yang diperkenalkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar.

Menurut beliau, segala dasar dan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri diterjemahkan secara berterusan di peringkat kawasan dan tidak hanya digerakkan ketika musim berkempen.

“Bukan baru tahun ini tetapi telah dilaksanakan sebelum pilihan raya lagi yang mana apa Menteri Besar laksanakan di peringkat negeri, kami laksanakan di peringkat kawasan.

“Apabila mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi pula, kerajaan Johor menyediakan Bantuan Kasih Johor Mahasiswa serta insentif khas kepada mahasiswa Johor,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Fared berkata, budaya mendampingi rakyat di Semerah menjadi rutinnya sebagai Exco Kerajaan Johor.
dan hanya mempergiatkannya ketika kempen pilihan raya.

“Apabila ada penduduk yang sakit atau ditimpa kemalangan, kita salurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantu urusan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Jika melibatkan asnaf, kita hubungkan dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kerana itulah amanah dan tanggungjawab kami,” katanya.

Justeru, katanya, keyakinan untuk mempertahankan kerusi DUN Semerah bukan bersandarkan kempen semata-mata, tetapi hasil hubungan yang telah lama dibina bersama masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast