Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai rakyat sebelum pulang ketika Program Ramah Mesra bersama PMX di Kampung Jawa di DUN Pemanis di Segamat, hari ini

KUALA LUMPUR – Imej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat tegas dalam membanteras rasuah serta menolak budaya ‘sakau’ mampu menjadi antara faktor utama membantu Pakatan Harapan (PH) meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Noor Fareen Abdul Rahim berkata, rakyat Johor kini berpeluang menilai sendiri prestasi pentadbiran Kerajaan Madani yang disifatkannya bebas daripada budaya korupsi di samping berjaya memacu pertumbuhan ekonomi.

Menurut beliau, usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh integriti pentadbiran dan membanteras rasuah telah memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap kepimpinan Anwar.

“Perdana Menteri telah berusaha sedaya upaya demi pembangunan Malaysia dan kesejahteraan rakyat. Setakat ini rakyat boleh menilai dengan mata hati segala usaha yang telah dijalankan oleh Anwar selama ini.

“Kerajaan Madani juga telah berusaha untuk membanteras budaya rasuah khususnya dalam kalangan kakitangan awam dan juga pihak yang berkepentingan.

“Rakyat sudah muak dengan segala korupsi yang berlaku dalam kalangan pemimpin tertinggi. Ini jelas menunjukkan bahawa usaha kerajaan sentiasa konsisten demi kebaikan rakyat sejagat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Anwar memberi amaran bahawa era budaya ‘sakau’ dan politik yang mengkayakan kroni telah berakhir, sambil menegaskan komitmen Kerajaan Madani untuk melahirkan kepimpinan yang bersih tanpa mengira kaum serta membersihkan sistem pentadbiran negara daripada amalan rasuah yang berakar umbi.

Mengulas lanjut, Noor Fareen berkata, pengundi Johor tidak lagi hanya bergantung kepada janji atau retorik kempen sebaliknya mampu menilai sendiri keberkesanan dasar dan pencapaian kerajaan melalui pelbagai saluran maklumat.

Katanya, jika rakyat merasakan mereka benar-benar menikmati manfaat hasil pelaksanaan dasar kerajaan, ia akan diterjemahkan melalui sokongan di peti undi.

Beliau turut menegaskan pemilihan calon yang berwibawa, berintegriti dan mempunyai rekod perkhidmatan baik juga menjadi faktor penting dalam menentukan kejayaan PH di Johor.

“Paling penting sekali, beliau seharusnya mempunyai imej yang bersih. Isu rasuah atau korupsi merupakan isu yang sangat berat. Rakyat Johor pasti memerlukan pemimpin yang amanah dan berintegriti,” katanya.

Pada masa sama, Noor Fareen berkata, Anwar dan Kerajaan Madani perlu terus membuktikan keupayaan menangani isu lain yang dekat dengan kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, keciciran pelajar serta isu pendatang tanpa izin agar keyakinan terhadap PH terus diperkukuh.

“Jentera parti juga perlu bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan segala usaha kerajaan dapat diterjemahkan kepada rakyat. Akhirnya, segala-galanya terletak di tangan pengundi Johor untuk menentukan pilihan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.