Gambar media sosial

WASHINGTON – Argentina bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Mesir 3-2 pada Selasa, sekali gus mara ke suku akhir Piala Dunia selepas kebangkitan dramatik lewat permainan yang diterajui Lionel Messi.

Mesir hampir mencipta kemenangan bersejarah menerusi jaringan Yasser Ibrahim dan Mostafa Ziko, dalam perlawanan yang turut menyaksikan Messi gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Namun, juara bertahan itu membuktikan kelebihan tersendiri apabila meledak tiga gol dalam tempoh 11 minit terakhir termasuk masa kecederaan, untuk memastikan misi mempertahankan kejuaraan.

Cristian Romero mencetuskan kebangkitan Argentina menerusi tandukan, sebelum Messi menyamakan kedudukan tujuh minit sebelum tamat permainan.

Jaringan itu  meletakkannya kembali di depan dalam perebutan Kasut Emas dengan lapan gol pada kejohanan kali ini.

Mesir sebelum itu berjaya mengekang Argentina dalam tempoh yang panjang dan hampir mencipta antara kemenangan terbesar dalam sejarah bola sepak negara itu.

Shobeir cemerlang menyelamatkan sepakan penalti Messi pada separuh masa pertama, selain melakukan beberapa penyelamatan penting bagi menafikan jentera serangan Argentina.

Mesir turut kecewa apabila satu jaringan dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) pada awal babak kedua.

Keputusan itu mencetuskan rasa tidak puas hati di bangku simpanan Mesir, sebelum seorang anggota barisan kejurulatihan mereka dilayangkan kad merah selepas jaringan kemenangan Argentina.

Messi kelihatan beremosi selepas wisel penamat, memeluk rakan sepasukan ketika Argentina meraikan kemenangan itu.

Argentina akan menentang Colombia atau Switzerland dalam aksi suku akhir pada Sabtu. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast