Barisan kepimpinan DAP hadir ceramah PH di Batu Pahat bagi memberikan sokongan calon-calon bertanding.

BATU PAHAT –  Dakwaan orang Melayu akan kehilangan hak sekiranya UMNO tidak lagi berada dalam kerajaan hanyalah naratif politik yang sengaja dimainkan bagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berucap pada ceramah Pakatan Harapan (PH) di sini malam tadi berkata, kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

Menurutnya, pelbagai bentuk bantuan termasuk subsidi yang disediakan kerajaan hari ini dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia dan bukannya hanya tertumpu kepada sesuatu kaum.

Rayer berkata, kenyataan yang didakwa dibuat oleh Khairy Jamaluddin orang Melayu akan kehilangan hak sekiranya UMNO tidak berada dalam kerajaan adalah tidak berasas dan tidak menggambarkan keadaan sebenar pentadbiran negara ketika ini.

“Dalam kerajaan hari ini, semua rakyat menerima manfaat yang sama. Bantuan dan subsidi diberi kepada rakyat Malaysia tanpa mengira sama ada Melayu, Cina, India atau kaum lain,” katanya.

Beliau turut menyifatkan naratif berasaskan kaum sebagai pendekatan politik lama yang tidak lagi sesuai digunakan untuk meraih sokongan rakyat khususnya pengundi muda.

Bagi menguatkan hujahnya, Rayer mengimbau kes membabitkan Lim Guan Eng pada 1997 apabila bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, menurut beliau, tampil mempertahankan nasib seorang gadis Melayu dalam satu kes berprofil tinggi yang ketika itu mendapat perhatian negara.

Menurut Rayer, tindakan Guan Eng mempertahankan mangsa berkenaan akhirnya membawa kepada sabitan terhadap beliau sehingga dipenjarakan selama 18 bulan.

Beliau berkata, peristiwa itu membuktikan perjuangan DAP bukan berasaskan kaum, sebaliknya mempertahankan prinsip keadilan tanpa mengira latar belakang mangsa atau individu yang terlibat.

“Kalau benar DAP hanya memperjuangkan satu kaum, mengapa Guan Eng sanggup berdepan tindakan undang-undang kerana mempertahankan seorang gadis Melayu?” soalnya.

Ceramah PH di Batu Pahat dihadiri ratusan penyokong malam tadi.

Pada masa sama, Rayer mengingatkan pengundi Johor supaya tidak memberikan kemenangan terlalu besar kepada Barisan Nasional (BN) kerana menurutnya ia berpotensi mengukuhkan semula pengaruh pemimpin tertentu di peringkat nasional.

Beliau berkata, rakyat Johor pernah mencipta perubahan pada Pilihan Raya Umum 2018 dan percaya negeri itu sekali lagi mampu menghantar mesej politik yang mengutamakan perpaduan serta kepentingan rakyat perlu terus dipertahankan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast