JOHOR BAHRU – Kerajaan Madani kini terpaksa menanggung hampir RM1 bilion setahun bagi melunaskan komitmen kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu demi memastikan kebajikan peneroka terus terbela.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, beban kewangan itu terpaksa dipikul kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan salah urus yang didakwa mengakibatkan Felda menanggung kerugian mencecah kira-kira RM8 bilion.
Beliau berkata, walaupun kerajaan hari ini tidak bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat sebelum ini, pentadbiran Madani memilih untuk memulihkan Felda berbanding membiarkan peneroka terus menanggung kesan daripada kelemahan pengurusan terdahulu.
“Kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang mencecah sekitar RM8 bilion akibat salah urus. Siapa yang menguruskan ketika itu sehingga berlaku kerugian sebesar itu?
“Namun akhirnya Kerajaan Madani terpaksa memperuntukkan hampir RM1 bilion setiap tahun bagi memastikan peneroka Felda terus mendapat manfaat dan tidak menjadi mangsa kepada kelemahan pentadbiran lampau,” katanya ketika berucap pada ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Danish, usaha menyelamatkan Felda membuktikan kerajaan hari ini memberi keutamaan kepada kebajikan peneroka tanpa mengira siapa yang menyebabkan masalah berkenaan berlaku.
Katanya, pendekatan diambil kerajaan bukan sekadar menyelesaikan beban kewangan agensi itu, malah memastikan kelangsungan kehidupan puluhan ribu keluarga peneroka di seluruh negara terus terjamin.
Beliau berkata, peneroka tidak seharusnya dihukum akibat keputusan atau kelemahan pengurusan yang berlaku pada masa lalu kerana mereka telah banyak menyumbang kepada pembangunan industri komoditi negara.
Sehubungan itu, Danish berkata, tindakan kerajaan menyalurkan komitmen kewangan setiap tahun adalah bukti kesungguhan pentadbiran Madani memulihkan institusi penting seperti Felda secara berperingkat.
Katanya, pembangkang sebaliknya perlu menjelaskan bagaimana kerugian berbilion ringgit itu boleh berlaku ketika mereka mentadbir, berbanding terus melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan hari ini.
Beliau turut menggesa rakyat menilai rekod pentadbiran berdasarkan fakta dan prestasi sebenar, termasuk langkah diambil kerajaan untuk memulihkan agensi strategik yang berdepan masalah kewangan.
“Kerajaan Madani memilih untuk menyelamatkan Felda bukannya membiarkan peneroka menanggung akibat daripada salah urus yang diwarisi,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















