JOHOR BAHRU – Presiden Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri RS Thanenthiran yakin gelombang sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) semakin kukuh menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini.
Beliau berkata, sambutan diterima sepanjang tempoh berkempen memberi gambaran bahawa rakyat Johor mahukan sebuah kerajaan negeri yang stabil, berpengalaman dan mampu meneruskan agenda pembangunan tanpa gangguan politik.
“Gelombang sokongan rakyat semakin jelas dirasai. Semangat yang ditunjukkan oleh Bangsa Johor membuktikan rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman dan terus bekerja demi kesejahteraan negeri,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Thanenthiran, kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjadi antara faktor utama yang berjaya meyakinkan rakyat untuk terus memberikan mandat kepada BN.
Katanya, sepanjang menerajui pentadbiran negeri, Onn Hafiz membuktikan beliau seorang pemimpin yang mudah didekati, sentiasa turun padang dan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
“Beliau tidak pernah bongkak, tidak pernah sombong. Siang dan malam beliau bekerja demi Bangsa Johor. Inilah kepimpinan yang diperlukan untuk memastikan negeri ini terus maju,” ujarnya.
Thanenthiran berkata, Johor ketika ini memerlukan kesinambungan pentadbiran yang stabil bagi memastikan pelaburan, pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan.
Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya mengambil risiko menukar kerajaan ketika Johor sedang berada di landasan pembangunan yang positif di bawah kepimpinan sedia ada.
“Saya yakin dengan sokongan padu daripada seluruh jentera Barisan Nasional serta rakyat Johor, BN mampu mencatatkan kemenangan besar pada 11 Julai ini.
“Marilah kita bersama-sama memastikan setiap undi diterjemahkan kepada kemenangan demi kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan masa depan Johor yang lebih maju serta makmur,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa seluruh pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian dan terus memberikan mandat kepada BN bagi memastikan agenda pembangunan Johor dapat diteruskan di bawah kepimpinan Onn Hafiz. -MalaysiaGazette
















