GEORGE TOWN- Pelajar antarabangsa di universiti awam hanya mewakili 8.9 peratus daripada keseluruhan enrolmen institusi berkenaan,” kata Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), Profesor Madya Dr. Thien Lei Mee.
Jelas beliau, bagi prasiswazah pula, pelajar tempatan terus mendominasi dengan 96.56 peratus berbanding hanya 3.44 peratus pelajar antarabangsa.
Katanya, data Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2026 menunjukkan jumlah pelajar antarabangsa di universiti awam ialah 56,565 orang, sekali gus memberi isyarat bahawa isu berkenaan perlu dinilai berdasarkan data, dasar dan struktur pendidikan tinggi negara, bukannya persepsi semata-mata.
Menurut beliau, walaupun kebimbangan masyarakat mengenai peluang pendidikan anak tempatan wajar diberi perhatian, perbincangan awam perlu dipandu oleh fakta yang tepat supaya tidak membawa kepada kesimpulan yang terlalu mudah.
“Masyarakat perlu memahami perbezaan antara pengajian prasiswazah dan pascasiswazah kerana kedua-duanya mempunyai fungsi berbeza dalam sistem pendidikan tinggi negara.
“Prasiswazah berkait rapat dengan akses, mobiliti sosial dan peluang anak tempatan memasuki universiti awam, manakala pascasiswazah pula berperanan dalam penghasilan ilmu, penyelidikan, kepakaran tinggi dan jaringan akademik antarabangsa.
“Oleh itu, mencampurkan kedua-dua kategori ini untuk membuat rumusan umum mengenai persaingan mendapatkan tempat di universiti awam adalah tidak tepat dari sudut dasar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut Lei Mee berkata, berdasarkan data prasiswazah, pelajar tempatan kekal sebagai kumpulan dominan di universiti awam, sekali gus membuktikan keutamaan kepada anak tempatan masih terpelihara.
Katanya, dengan 96.56 peratus enrolmen prasiswazah terdiri daripada pelajar tempatan, kehadiran pelajar antarabangsa pada kadar 3.44 peratus tidak boleh secara munasabah dianggap sebagai tekanan besar terhadap peluang pelajar tempatan.
“Pelajar antarabangsa tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan angka enrolmen kerana mereka merupakan sebahagian daripada strategi pengantarabangsaan negara.
“Kehadiran mereka terutama di peringkat ijazah tinggi menyumbang kepada penyelidikan, penerbitan akademik, pembangunan kepakaran, pertukaran ilmu dan kerjasama rentas negara.
“Universiti yang berdaya saing tidak hanya diukur melalui kekuatan domestiknya, tetapi juga melalui keupayaannya menarik bakat, idea dan jaringan antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, pelajar antarabangsa turut memberi sumbangan kepada ekonomi melalui yuran pengajian, penginapan, makanan, pengangkutan, insurans, perkhidmatan harian dan aktiviti pelancongan pendidikan yang memberi manfaat kepada universiti serta komuniti setempat.
Katanya, pendapatan daripada pengantarabangsaan juga membantu memperkukuh kelestarian universiti awam, termasuk menyokong penambahbaikan makmal, perpustakaan, kemudahan pembelajaran, prasarana kampus, perkhidmatan pelajar dan aktiviti penyelidikan.
“Kehadiran pelajar antarabangsa memperluaskan pengalaman kampus apabila interaksi dengan pelajar tempatan dapat membina kefahaman silang budaya, meningkatkan keyakinan komunikasi serta menyediakan graduan untuk pasaran kerja yang semakin global.
“Sehubungan itu, isu ini tidak seharusnya dibingkaikan sebagai pertentangan antara pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa kerana pelajar tempatan kekal sebagai keutamaan nasional, manakala pelajar antarabangsa memperkukuh dimensi global, penyelidikan, ekonomi dan reputasi universiti.
“Akses pelajar tempatan dan agenda pengantarabangsaan bukan dua perkara yang saling bertentangan, sebaliknya Malaysia mampu melindungi peluang anak tempatan sambil membina universiti awam yang lebih global, kompetitif dan diyakini menerusi dasar yang jelas serta pengurusan enrolmen berasaskan bukti,” katanya. – MalaysiaGazette















