JOHOR BAHRU – Seramai 120 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk enam bekas pemimpin dan anggota jawatankuasanya di peringkat bahagian dan cawangan mengumumkan sokongan terbuka kepada calon PH N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd. Puad.
Mereka terdiri daripada mantan Ketua Penerangan Srikandi Bahagian Pulai, Rafidah Ani; mantan Setiausaha Srikandi Bahagian Pulai, Noriah Mat Daud; mantan Ahli Jawatankuasa Srikandi Bahagian Pulai, Norhafizah Mohd Noor; serta mantan Bendahari Srikandi Bahagian Pulai, Suriati Mamat.
Manakala dua lagi merupakan mantan Pengerusi Bersatu Cawangan Bukit Mewah, Mohd Suhimi Abdul Rahman dan mantan Ahli Jawatankuasa Pemuda Bersatu Cawangan Bukit Mewah, Mohd Al Fardi Saidin.
Pengumuman itu dilihat sebagai satu lagi perkembangan menarik dalam kempen PRN Johor di Kempas apabila beberapa bekas pemimpin akar umbi Bersatu memilih untuk menyatakan sokongan secara terbuka kepada PH menjelang hari pengundian pada 11 Julai ini.
Menurut Suhimi, keputusan itu untuk keluar Bersatu dan menyokong calon PH Kempas selepas kecewa dengan kepimpinan parti lamanya didakwa gagal memberi perhatian kepada suara akar umbi.
“Keputusan meninggalkan Bersatu bukan dibuat secara tergesa-gesa.
“Sebaliknya ia dibuat selepas melalui tempoh pertimbangan yang panjang berikutan pelbagai masalah didakwa tidak pernah diberikan perhatian oleh kepimpinan parti,” katanya kepada pemberita di hadapan Bilik Gerakan Utama Harapan Kempas, di sini, malam tadi.
Suhimi mendakwa, sepanjang berada dalam Bersatu, pelbagai cadangan dan permohonan bantuan untuk cawangan serta penduduk setempat dikemukakan kepada pimpinan, namun kebanyakannya tidak mendapat tindakan sewajarnya.
“Saya memang kecewa. Dari awal saya berada dalam Bersatu lagi, banyak perkara yang saya bawa bagi membantu cawangan dan penduduk tidak diberikan perhatian.
“Sebab itu saya fikir saya perlu mencari sebuah parti yang benar-benar boleh membantu rakyat dan membela nasib penduduk di Kempas,” katanya.
Beliau juga berkata, keputusan meninggalkan Bersatu sebenarnya telah dibuat kira-kira dua hingga tiga tahun lalu, iaitu tidak lama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.
Jelasnya, faktor utama bukanlah soal kedudukan parti dalam kerajaan, sebaliknya kegagalan kepimpinan memberi perhatian kepada keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
“Saya tidak fikir soal siapa kerajaan atau pembangkang. Yang saya fikir ialah penduduk Kempas mesti dibantu dan jangan terus diabaikan.
“Saya sendiri sudah beberapa kali cuba mendapatkan bantuan dan mengatur pertemuan dengan pemimpin, tetapi tidak berjaya,” katanya.
Suhimi turut mendakwa pernah menghantar beberapa surat bagi mendapatkan temu janji dengan Menteri Besar Johor ketika itu, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
“Saya sudah tiga kali menghantar surat untuk memohon temu janji, tetapi semuanya senyap.
“Bila keadaan jadi macam itu, saya rasa tiada lagi keperluan untuk terus bersama mereka kerana saya lihat rakyat di bawah juga tidak diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata, hubungan dengan pimpinan PKR pula telah terjalin sejak beberapa tahun lalu melalui beberapa siri perbincangan mengenai isu rakyat dan pembangunan di kawasan Kempas.
Katanya, beliau melihat calon PH bagi kerusi N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin mempunyai kesungguhan untuk membawa perubahan serta membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang politik.
“Saya nampak ada harapan dengan PKR. Saya percaya calon mereka mampu membawa kemajuan kepada Kempas daripada aspek ekonomi, kebajikan dan pembangunan penduduk.
“Kalau diberi peluang, saya juga mahu membantu memperkukuhkan PKR di kawasan ini termasuk menarik lebih ramai penduduk menyertainya,” katanya.
Suhimi turut berkata, antara perancangannya ialah memperluaskan sokongan PKR dalam kalangan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas melalui penubuhan cawangan baharu dan usaha memperkasakan gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Muhammad Faezuddin menyifatkan penyertaan bekas pemimpin Bersatu itu sebagai bukti bahawa semakin ramai rakyat mahukan pendekatan politik yang lebih matang dan mengutamakan kebajikan masyarakat.
Menurut beliau, PH tidak mengamalkan budaya memilih bulu dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat.
“Kita membawa budaya politik baharu. Apabila pilihan raya selesai, tanggungjawab wakil rakyat adalah membantu semua penduduk tanpa mengira sama ada mereka daripada PKR, UMNO, Bersatu, DAP atau mana-mana parti.
“Kalau seseorang itu susah, dia berhak menerima bantuan dan kita wajib membantu. Bantuan tidak sepatutnya diberikan hanya kepada penyokong atau kroni mana-mana parti,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu diyakini menjadi antara faktor yang mendorong semakin ramai bekas ahli dan penyokong parti lain tampil memberikan sokongan kepada PH pada kempen PRN Johor kali ini.
“Saya mengucapkan penghargaan kepada Mohd Suhimi serta penyokong lain yang memilih untuk bersama PH.
“Saya berharap sokongan tersebut dapat diterjemahkan kepada usaha bersama membangunkan Kempas sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada 11 Julai ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















