SEKIJANG – Golongan muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis tidak menuntut sesuatu yang luar biasa sebaliknya hanya mahukan peluang pekerjaan, membina keluarga dan mencipta masa depan di kampung halaman sendiri.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin, aspirasi itu perlu dijawab melalui dasar yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi di luar bandar agar anak muda tidak lagi terpaksa berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki.
“Anak-anak muda di Pemanis sebenarnya tidak pernah meminta yang luar biasa. Mereka cuma mahu peluang. Peluang untuk mendapat pekerjaan yang baik, peluang membina keluarga dan peluang untuk berjaya tanpa perlu meninggalkan ibu bapa di kampung demi mencari rezeki di bandar,” katanya ketika berkempen di DUN Pemanis malam tadi.
Menurut Danish, kerajaan ketika ini telah memperkenalkan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat luar bandar termasuk menerusi Projek Sejati Madani.
Katanya, program itu membolehkan setiap kampung memohon geran sehingga RM100,000 bagi melaksanakan projek pembangunan ekonomi mengikut keperluan komuniti setempat.
“Apabila ekonomi kampung bergerak, peniaga kecil mendapat manfaat, peluang pekerjaan bertambah dan anak-anak muda mempunyai sebab untuk terus membina masa depan di tanah kelahiran sendiri,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Pemanis, Jalex Lee En Xiang yang disifatkannya mampu membawa suara serta harapan baharu kepada penduduk kawasan itu.
Menurutnya, Jalex merupakan antara lima calon muda AMK yang diberi kepercayaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Danish berkata, pembangunan sesebuah negeri tidak seharusnya hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya kawasan luar bandar juga perlu diberikan perhatian yang sama.
“Saya sentiasa percaya kemajuan sesebuah negeri tidak sepatutnya hanya tertumpu di bandar. Kampung juga berhak maju. Anak muda kampung juga berhak bermimpi besar,” ujarnya.
Beliau berharap sokongan rakyat terhadap PH dapat membuka lembaran baharu kepada Pemanis dan membolehkan kawasan itu berkembang sebagai contoh pembangunan luar bandar tanpa mengorbankan identiti serta jati diri masyarakat setempat. -MalaysiaGazette
















