KULAI – Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern memaafkan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang masih lagi menjadikan kenyataannya berhubung isu tidak menerima peruntukan kerajaan negeri sebagai modal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Arthur yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai berkata, beliau sudah pun memohon maaf sebelum terhadap kenyataannya sebelum ini.

“Saya memang ada dapat nampak video Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz. Apa yang saya silap cakap dulu saya sudah mohon maaf dan kalau beliau masih lagi nak goreng-goreng isu ini selain daripada (isu) polisi ke, ekonomi, kebajikan atau isu lain, saya maafkan dialah.

“Saya maafkan dia. Dia orang besar tapi kita rendah diri, kita maafkan dia,” katanya ditemui pemberita ketika melakukan walkabout untuk berkempen di Taman Permai di sini hari ini.

Arthur yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Batu sebelum ini mendakwa tidak menerima peruntukan kerajaan negeri tetapi selepas itu memohon maaf.

Beliau berkata, rakyat Johor perlu sedar untuk memilih pemimpin yang mempunyai ciri-ciri baik untuk memimpin negeri ini.

Jelasnya, ini kerana pemimpin dipilih itu akan membawa hala tuju negeri dalam tempoh lima tahun ini.

Selain itu, beliau berkata, alasan Onn Hafiz menolak pelawaan debat dengan Dr Maszlee Malik didakwa kerana tiada idea dan bukan faktor bukan budaya orang Johor berdebat seperti yang dicakapkan.

“Kenapa cakap ini bukan budaya orang Johor? Ini memalukan orang Johorlah,” katanya.

Ditanya tempoh baki kempen kira-kira dua hari lagi, beliau yakin selain gerak kerja menyantuni pengundi, pihaknya menghasilkan video untuk menyantuni orang muda dan pengundi pertama kali mengundi secara dalam talian.

Menurut beliau, pihaknya menerima maklum balas yang bagus daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kini sokongan berpihak kepada PH sekali gus memberi keyakinan untuk menang.

Arthur membayangkan kini sudah masuk gear maksimum untuk pecutan akhir sebelum hari pengundian Sabtu ini.

“Saya harap anda semua ini kena balik untuk undi calon Harapan kerana Pakatan Harapan adalah sebuah parti yang berkemampuan, berkomitmen dan akan bekerjasama dan juga berkhidmat kepada rakyat. Kita ada fakta, kita ada bukti dan track record yang baik,” katanya.

Pada PRN Johor yang lalu, Arthur Chiong menang dengan majoriti tipis iaitu 137 undi selepas mendapat keseluruhan 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Batu.

Beliau menewaskan S Suppayah (Barisan Nasional) 9,302 undi; Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) 4,334 undi dan Lee Ming Wen (Parti Warisan) 1,053 undi.

Susulan itu, MIC yang tidak berpuas hati dengan kemenangan tipis itu menuntut SPR mengira semula kertas undi kerusi DUN Bukit Batu.

Suppayah yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat mahukan pengiraan semula kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak dan mendakwa berlaku ketirisan, ketika proses pengiraan undi.

Beliau juga mendakwa permintaannya untuk mengira semula undi di beberapa pusat pengundian ditolak oleh pegawai SPR dan penolakan permintaannya itu tidak mematuhi undang-undang kecil pilihan raya.

Suppayah kemudian membuat laporan polis sebelum mengemukakan petisyen pilihan raya.

Mahkamah pilihan raya pada 29 Jun 2022 memutuskan kemenangan Arthur Chiong Sen Sern pada PRN Johor, bagi kerusi DUN Bukit Batu Mac lalu adalah sah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast