KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bermesyuarat hari ini berkata, pendirian dasar monetari semasa adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Meskipun begitu, BNM akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
Menurutnya, bagi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan yang berdaya tahan pada suku kedua, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan prestasi eksport yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Konflik Timur Tengah yang masih tidak menentu boleh mempengaruhi prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri tetapi asas-asas Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara bagi menghadapi kejutan luaran.
Jelasnya, guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.
Aktiviti pelaburan pula akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan.
Sektor luaran akan terus meningkat disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang bertambah baik dan permintaan yang mantap terhadap elektrik dan elektronik (E&E).
Malah, pemulihan dalam eksport bukan E&E dan perbelanjaan pelancong yang berterusan akan memberikan sokongan tambahan.
“Oleh itu, unjuran pertumbuhan bagi tahun 2026 dijangka berada kukuh dalam julat antara 4% hingga 5%.
“Prospek pertumbuhan ini kekal bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi rendah berikutan konflik Timur Tengah yang berlarutan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah.
“Potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada prospek pertumbuhan global yang lebih baik berikutan konflik yang mereda,
permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bank Negara Malaysia menambah, dalam lima bulan pertama tahun ini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 1.7% dan 2.1%.
Angka ini secara amnya selaras dengan jangkaan, dalam keadaan pindahan awal tekanan kos global yang lebih tinggi.
Namun, perkembangan berhubung dengan konflik Timur Tengah kekal cepat berubah, dengan harga komoditi global yang tinggi dijangka memberikan
tekanan menaik kepada inflasi.
Walau bagaimanapun, kesannya terhadap inflasi keseluruhan dan inflasi teras pada tahun 2026 dijangka kekal terkawal, mencerminkan langkah-langkah dasar dalam negeri dan keadaan permintaan yang stabil, yang akan mengurangkan pindahan tekanan kos luaran kepada harga dalam negeri.
“Penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global yang berdaya tahan secara keseluruhan, disokong oleh pengembangan teknologi yang kukuh serta
keadaan bekalan dan harga komoditi utama yang bertambah baik.
“Pada masa hadapan, keadaan konflik di Timur Tengah yang terus mereda akan menambah baik lagi keadaan rantaian bekalan global. Risiko pertumbuhan global menjadi rendah terus wujud, berpunca daripada ketidaktentuan yang berterusan berhubung dengan konflik tersebut, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan.
“Potensi pertumbuhan menjadi pesat termasuk pemulihan keadaan rantaian bekalan yang lebih cepat daripada jangkaan, perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh dan langkah-langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju,” jelas bank pusat itu.
Katanya, bagi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan yang berdaya tahan pada suku kedua, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan prestasi eksport yang lebih kukuh daripada jangkaan. – MalaysiaGazette
















