PUTRAJAYA – Ancaman keselamatan negara kini semakin kompleks susulan perkembangan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), sekali gus memerlukan perubahan menyeluruh daripada pendekatan konvensional kepada kaedah yang lebih moden.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan lama tidak lagi mencukupi untuk menangkis ancaman siber dan serangan digital yang semakin canggih.
Justeru, negara perlu mempercepat usaha memahami serta menguasai teknologi baharu bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara, ujar beliau.
“Selain memperkukuhkan keupayaan agensi keselamatan dan penguatkuasaan, rakyat khususnya golongan muda juga perlu diberi pendedahan serta latihan supaya memahami bahawa aspek keselamatan merupakan tanggungjawab bersama.
“Kalau kita mampu segera menangkap dan memahami semua aspek teknologi baharu ini, maka kita lebih selamat.
“Kita juga perlu memberi pencerahan kepada rakyat, terutama anak muda, mengenai pendekatan dan inisiatif baharu dalam bidang keselamatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Bulan Keselamatan Negara (BKN) 2026 dan Majlis Perasmian National Cyber Security Summit (NCSS) 2026 di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiauasa Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Nushirwan Zainal Abidin.
Anwar berkata, persepsi bahawa keselamatan hanya menjadi tanggungjawab agensi penguat kuasa perlu diubah kerana setiap keluarga kini berdepan risiko ancaman yang boleh memasuki kehidupan harian menerusi teknologi maklumat.
Katanya, jika dahulu ancaman lebih sukar menembusi masyarakat, kini ia boleh berlaku dengan pantas melalui penggunaan teknologi digital, AI dan teknologi kuantum yang semakin berkembang.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan turut memperkenalkan Dasar Kriptografi Negara serta Pelan Tindakan Kriptografi sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pertahanan digital negara.
Menurut beliau, perubahan dalam dunia pasca normal berlaku dengan begitu pantas dan merentasi pelbagai sektor, sekali gus menuntut sistem pendidikan serta latihan negara bergerak seiring dengan perkembangan tersebut.
“Mungkin dahulu kita bercakap mengenai firewall, tetapi hari ini firewall itu perlu wujud di hampir setiap keluarga, bukan sahaja untuk melindungi akhlak dan nilai anak-anak, malah mengelakkan mereka dipengaruhi fahaman yang boleh merosakkan serta mengancam keselamatan negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan penguasaan bidang baharu seperti AI dan kriptografi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan sekiranya Malaysia mahu terus kekal selamat dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran keselamatan masa depan. – MalaysiaGazette
















