Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berucap ketika Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sudah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya mengeluarkan saman terhadap mana-mana petugas kempen Pakatan Harapan (PH) yang didapati menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

Beliau berkata, arahan itu dibuat susulan penularan rakaman video memaparkan sekumpulan petugas kempen PH, termasuk daripada DAP, menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika berkempen.

Menurutnya, pendirian itu selaras dengan prinsip yang dipegangnya sejak dahulu bahawa setiap penunggang motosikal wajib mematuhi undang-undang dan memakai topi keledar tanpa mengira latar belakang politik.

“Saya sudah arahkan JPJ mengeluarkan saman kepada sesiapa sahaja yang didapati melanggar peraturan ini berdasarkan bukti rakaman video yang tular, tanpa mengira latar belakang politik.

“Ini termasuk mereka yang terlibat dalam konvoi kempen PH di Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anthony berkata, ketika membangkitkan isu sama membabitkan pemimpin Barisan Nasional (BN) semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim hampir enam tahun lalu, beliau turut menegaskan bahawa berkempen menggunakan motosikal bukan satu kesalahan, namun setiap penunggang wajib memakai topi keledar dan menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat.

Katanya, prinsip itu kekal terpakai kepada semua pihak tanpa sebarang pengecualian, termasuk calon serta petugas kempen Pakatan Harapan.

“Undang-undang keselamatan jalan raya tidak mengenal parti politik.

“Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia. Saya tidak akan berkompromi dengan prinsip ini walaupun ia melibatkan rakan sekempen sendiri.

“Keselamatan nyawa rakyat mengatasi kepentingan politik mana-mana pihak,” katanya.

Sebelum ini tular video memaparkan jentera PH termasuk Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika berkempen pada PRN Johor.

Video tersebut dipercayai dirakam dari sebuah kenderaan yang dinaiki Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast