SEGAMAT – Ketika TikTok, Instagram dan WhatsApp menjadi gelanggang utama perang kempen PRN Johor, siapa sangka golongan paling berusia kini muncul sebagai pencipta kandungan paling berharga dalam mendidik generasi muda mengenai demokrasi terutama kepada cucu sendiri.
Pengerusi Veteran UMNO Johor, Datuk Othman Jais berkata sebagai orang lama, sejarah politik negara perlu menjadi bahan kempen kepada anak cucu sendiri dalam memahami tanggungjawaab sebagai pengundi.
Ujarnya di samping mengejar teknologi digital masa kini, naratif menjual pengalaman sendiri itu boleh digabungkan dan menjadi bahan agar golongan Gen-Z terutamanya memahami peranan mereka sebagai pemilih ketika berkempen.
“Di ruang tamu, di beranda rumah dan di meja makan, datuk serta nenek kini menjadi “panglipur lara politik”, menghidupkan semula kisah pilihan raya puluhan tahun lalu, saat jatuh bangun pembangunan kawasan serta bagaimana satu undi mampu mengubah nasib sesebuah komuniti.
“Cerita dahulu hanya didengar oleh ahli keluarga kini boleh direkod dalam video pendek atau grafik sebelum dimuat naik ke TikTok, sebenarnya boleh menjadikan pengalaman hidup politik dulu-dulu lebih dekat dengan generasi Gen-Z yang bakal mengundi buat kali pertama,
“Esok sebelum mengundi, sempat kita sebagai datuk, nenek ini cerita pengalaman kepada cucu sebelum mereka memangkah calon,” katanya.
Bagi veteran UMNO itu, perubahan landskap politik bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan.
Ujarnya berkata semua ahli politik tanpa mengira usia perlu menguasai teknologi digital untuk terus kekal relevan dan mendekati pengundi muda dan menggunakan pengetahuan politik untuk dihadam oleh genarasi muda.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berkata, media sosial kini menjadi platform utama rakyat mendapatkan maklumat politik, malah kaedah berkempen juga perlu berubah mengikut peredaran zaman.
“Walaupun saya sudah berusia lebih 70 tahun, sebagai orang politik kita perlu menyesuaikan diri dengan teknologi. Kalau mahu mendekati Gen-Z, kita tidak boleh hanya bergantung kepada cara lama Sahaja.
“Namun kempen tradisional masih penting, penceritaan dari mulut ke mulut penting tapi kita tetap perlu turun padang, mengedarkan risalah, bertegur sapa dengan masyarakat serta menziarahi golongan memerlukan kerana sentuhan secara bersemuka tidak boleh digantikan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurutnya, setiap aktiviti di lapangan juga perlu dirakam dan dikongsikan menerusi media sosial supaya masyarakat, khususnya pengundi muda serta mereka yang berada di luar kawasan, dapat menilai sendiri komitmen dan prestasi calon.
“Platform seperti TikTok, Instagram dan WhatsApp bukan sekadar tempat memuat naik gambar atau video.
“Ia menjadi saluran menerangkan manifesto, menjawab persepsi serta menyedarkan anak muda tentang kepentingan keluar mengundi,” katanya lagi yang pernah memegang jawatan ADUN selama enam penggal.
Mengulas mengenai peranan veteran UMNO sepanjang kempen, Othman berkata pengalaman yang dimiliki golongan itu masih menjadi aset penting kepada jentera parti.
Katanya, walaupun ada yang menganggap veteran sekadar orang lama, namun pengalaman puluhan tahun berkhidmat kepada rakyat menjadikan mereka antara kelompok paling dihormati rakan dalam Barisan Nasional (BN) dan tidak dipandang ringan oleh pihak lawan.
“Kami mempunyai susun atur kerja yang tidak bermusim dan kekal setia selamanya. Ketika orang lain datang hanya apabila musim pilihan raya, kami sentiasa berada bersama rakyat sama ada ketika mereka senang atau susah.
“Pengalaman itu yang kami kongsi kepada generasi muda. Jika digabungkan dengan kekuatan media sosial, mesej yang disampaikan akan lebih meluas dan berkesan,” katanya.
Esok kira-kira 2.7 juta pengundi layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, membabitkan 1,076 pusat mengundi dan 4,889 saluran di seluruh negeri. – MalaysiaGazette
















