KULAI – Pengundi di Johor perlu memberikan peluang kepada empat calon MIC yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 esok bagi memastikan isu-isu rakyat dapat segera diselesaikan.
Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, ini kerana wakil rakyat daripada parti kerajaan negeri akan dapat memberi perkhidmatan lebih baik kepada penduduk setempat berbanding wakil rakyat pembangkang.
“Kemungkinan besar kerajaan Negeri yang akan dibentuk selepas hari mengundi esok adalah daripada BN. Jadi calon-calon yang kita tampilkan mewakili BN mempunyai kredibiliti masing-masing.
“Bagi memastikan isu-isu rakyat dapat diketengahkan sekali gus diselesaikan dengan sebaiknya, kami harap calon-calon BN dan MIC diberikan sokongan tanpa belah bahagi daripada masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Vigneswaran menambah, MIC berpendapat, memilih wakil rakyat daripada parti politik bukan sehaluan dengan kerajaan negeri kebiasaannya akan mengambil masa lama untuk memenyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk tempatan.
“Saya tidak kata jika bukan wakil rakyat BN isi tidak boleh selesai tetapi ia mungkin akan mengambil sedikit masa kerana kerajaan negeri akan utamakan kawasan yang menyokong mereka.
“Ini realiti dan merupakan perkara biasa di mana-mana negara, pihak kerajaan akan utamakan kawasan yang memberikan sokongan,” katanya.
Vigneswaran memberitahu, MIC wajar menjadi pilihan pengundi Johor kerana sudah terbukti sebuah parti politik yang sudah matang dan mampu mewakili masyarakat Malaysia berbilang kaum dan berbeza latar belakang.
PRN Johor ke-16 ini menyaksikan empat calon mewakili MIC iaitu K. Raven Kumar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah; V. Rugendran (DUN Kahang); P. Pannir Selvam (DUN Perling) dan R. Kumaran (DUN Bukit Batu. – MalaysiaGazette
















